PAN Terdesak Guna Nama Baik Istana Johor – @AyubBinRahmat

JOHOR BAHRU, 13 Mac – Cadangan Parti Amanah Negara (PAN) Negeri Johor untuk mewujudkan Universiti Sultan Ibrahim, dengan menggunakan nama baik Istana Johor disifatkan sebagai cadangan yang populis dan tidak membuat kajian yang terperinci mengenai institusi pengajian tinggi di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, perkara berkenaan menunjukkan bahawa parti terbabit dalam keadaan terdesak dan tidak faham dengan tawaran pendidikan yang ada di Johor.

“Tindakan PAN dilihat bertentangan dengan perintah DYMM Sultan Johor yang melarang agar nama baginda tidak dipergunakan untuk kepentingan politik serta mana-mana institusi kerajaan mahu pun awam seharusnya bergerak dan berkhidmat secara bebas daripada politik, tetapi inilah yang dilakukan oleh PAN pada hari ini.



“Ketika kita tidak pasti sama ada mereka sudah mendapat perkenan Istana untuk mengabadikan nama Tuanku Sultan Ibrahim pada universiti yang ingin ditubuhkan, mereka sudah terlebih dahulu menjaja nama itu dan mempolitikkannya.

“Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab dan dilihat berniat tidak ikhlas serta mahu mengelirukan masyarakat dengan mengheret nama baik Istana,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ianya juga menunjukkan betapa terdesaknya PAN yang sering dianaktirikan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Mana tidaknya, cadangan menubuhkan sebuah universiti adalah satu cadangan yang besar dan bersifat nasional. Namun, ia tidak pun diterima untuk dimasukkan dalam manifesto bersama PH.

“Kedua, cadangan ad hoc ini menunjukkan PAN tidak pun memahami sektor pengajian tinggi dengan mencadangkan sebuah universiti yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

“Ketiga, cadangan semberono ini jelas membuktikan PAN tidak pun tahu mengenai keadaan semasa di negeri Johor. Jadi, tidak hairanlah terpacul satu cadangan yang bukan sahaja bersifat populis, namun tidak praktikal, tidak teliti dan tidak ikhlas,” katanya.

Sementara itu, PAN Negeri Johor baru-baru ini telah membuat kenyataan dan melahirkan rasa kesal terhadap pendirian Ayub menolak cadangan PAN untuk menubuhkan Universiti Sultan Ibrahim di Johor.

(Visited 28 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.