Johor Bakal Ganti Lembah Klang

JOHOR BAHRU, 7 Mac – Pertumbuhan pembangunan yang begitu pesat di Johor dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dijangka akan dapat menggantikan Lembah Klang sebagai wilayah penyumbang penting ekonomi negara dan sudah pasti akan terus berkembang dalam jangka masa beberapa tahun lagi.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau yakin pertumbuhan ekonomi di Johor akan lebih pesat berkembang dalam tempoh 10 tahun berdasarkan beberapa trend dan faktor positif yang bakal menjayakannya.

“Trend berkenaan termasuk hakikat bahawa Lembah Klang sudah sarat dan tiada lagi kawasan yang perlu dibangunkan pada masa hadapan susulan kepesatan pembangunan selama ini.

“Berdasarkan pencapaian sebelum ini, Johor telah memperoleh pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan selama empat tahun berturut-turut sejak 2013 dan menjadi antara penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas Lembah Klang, katanya.

Mohamed Khaled berkata, jika dibandingkan Johor dengan Selangor dan Pulau Pinang, Pulau Pinang merupakan negeri yang kecil manakala Selangor mendapat limpahan daripada Kuala Lumpur. Apabila Kuala Lumpur belanja di Kuala Lumpur, Selangor juga akan turut mendapat manfaatnya.

“Di Johor tiada, malah lihat sahaja perkembangan Johor ketika ini dan dalam tempoh 10 tahun akan datang rakyat bakal menyaksikan Johor sebagai sebuah ekonomi yang akan membangun dengan pesat.

“Sejak 2011 sehingga 2016, pertumbuhan ekonomi Johor telah melepasi kadar yang direkodkan untuk Malaysia setiap tahun, dengan purata 5.9 peratus berbanding 5.1 peratus bagi Malaysia, katanya.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi Johor digerakkan oleh kekuatan pelbagai sektor serta tidak terlalu tertumpu kepada hanya satu sektor pendorong, malah Johor adalah negeri ketiga terbesar bagi semua sektor utama negara kecuali perlombongan.

“Pada 2016, Johor telah mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK 5.7 peratus, iaitu ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. KDNK Malaysia pada tahun itu pada 4.2 peratus.

“Kita sudah membuat persediaan awal dalam merangka dan mewujudkan pelbagai pelan pembangunan di negeri ini dengan mengikut acuan dan keperluan rakyat.

“Pelan berkenaan adalah merangkumi pembangunan potensi  setiap daerah berdasarkan kelebihan kawasan masing-masing melalui satu pelan yang dinamakan sebagai Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor, katanya.

Jelasnya, mengikut pelan yang dilancar pada 2016, setiap daerah mempunyai rancangan pembangunan masing-masing, sebagai contoh daerah Muar bakal dibangunkan sebagai hab pendidikan dan perabot dan Mersing dalam sektor pelancongan.

“Semua usaha berkenaan dilakukan kerana menyedari adalah mustahil untuk setiap daerah membangunkan projek yang sama kerana kita tidak berkehendakkan apa yang ada di Iskandar, Pengerang dibuat juga di daerah lain dan itu adalah mustahil dan atas sebab berkenaan kita berusaha untuk membangunkan daerah-daerah mengikut kelebihan masing-masing, katanya.

Mohamed Khaled berkata, kepesatan pembangunan yang berlaku di kawasan Johor Bahru, Pengerang dan wilayah ekonomi Islandar Malaysia ianya tidak seharusnya mengundang perasan iri hati dalam kalangan penduduk di daerah lain di Johor.

“Ini disebabkan kesemua kepesatan berkenaan akan memungkinkan kerajaan negeri menjana sumber kukuh untuk diagihkan ke daerah lain semata-mata untuk pembangunan keperluan asas lebih bermutu dan prasarana lain yang memanfaatkan rakyat.

“Pendekatan kerajaan negeri adalah untuk mempastikan pembangunan yang ada di Johor bersifat inklusif, seimbang dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Jika kita tidak ada pertumbuhan, kemajuan di mana-mana daerah khususnya di Iskandar dan Pengerang, kita tidak mungkin mempunyai sumber dan kekuatan untuk membangunkan, memajukan kawasan lain.

“Oleh sebab kita sudah memilih untuk membangunkan Johor secara inklusif dan seimbang, maka kita perlu juga memastikan daerah lain tidak wujud jurang yang begitu besar dengan daerah yang berlaku pertumbuhan pesat,” katanya.

(Visited 35 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com