Berita Baik Kepada Pembeli Rumah Yang Gagal Buat Pinjaman Perumahan – @KhaledNordin

JOHOR BAHRU, 28 Jan – Skim penyewaan hartanah di bawah program Jauhar Prihatin menjadi alternatif dan jalan penyelesaian kepada pembeli rumah yang tidak mampu mendapat pinjaman perumahan biasa secara komersial.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat ramai pembeli yang telah terpilih dan disenarai pendek atau ditawarkan dengan pembelian rumah mampu milik tetapi terpaksa melepaskan peluang dan membatalkan niat berkenaan disebabkan kegagalan mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank.

“Melalui Jauhar Prihatin, kita akan menggunakan kaedah pembiayaan tertangguh yang akan menyaksikan bakal pembeli diberi peluang memasuki rumah melalui skim penyewaan hartanah terlebih dahulu selama 5 tahun.

“Selepas tamat tempoh 5 tahun, peserta Jauhar Prihatin ini akan memasuki pula peringkat kedua, iaitu peringkat pembelian rumah.

“Dalam peringkat kedua ini, peserta yang pada awalnya adalah penyewa kini akan bertukar menjadi pembeli dan berpeluang memohon pinjaman perumahan seperti biasa daripada institusi kewangan, dengan rekod dan merit yang lebih baik, katanya.

Menurut beliau, terdapat dua perkara menarik di bawah skim berkenaan iaitu harga hartanah yang ditawarkan ketika menandatangani perjanjian sewa beli adalah sama dengan harga yang ditetapkan semasa perjanjian jual beli 5 tahun kemudiannya.

“Kedua, harga berkenaan akan ditolak dengan hasil tabungan bulanan yang dibayar sebagai sebahagian daripada sewa selama 5 tahun berkenaan.

“Hasil simpanan pembeli berkenaan akan ditukarkan sebagai deposit pembelian sekali gus melepaskan beban untuk mengumpulkan bayaran pendahuluan yang rata-ratanya menjadi penyebab kegagalan dalam proses pembelian rumah, katanya ketika berucap di Majlis Lawatan Kerja di Pangsapuri Bukit Saujana, hari ini.

(Visited 70 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com