Pembangkang akan serang hendap @KhaledNordin Isnin ini?

Segalanya akan terjawab Isnin ini.

Isnin depan, genaplah seminggu sidang Dewan Undangan Negeri Johor kecoh dengan dakwaan rasuah yang mengaitkan pemimpin utama kerajaan negeri.

Seakan-akan telah menghidu soalan yang akan ditanya wartawan, Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin berkata isu yang berlegar-legar di fikiran ramai samada beliau terlibat dalam skandal hartanah di negeri tersebut akan terjawab tidak lama lagi.

“Isu lain hari Isnin saya akan jawab. InsyaAllah,” katanya sejurus ditanya wartawan sama ada beliau boleh menjawab soalan lain selain soal pembangunan negeri.

Beliau yang menyambut hari jadinya ke 59 hari ini ditemui wartawan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berehat sebentar tengah hari tadi.

Alasannya mudah, skandal tersebut kini sedang dalam prosiding mahkamah dan Khaled akan menyentuhnya dalam sesi penggulungannya Isnin depan.

“Sebab benda itu dibangkitkan dalam dewan dan sebenarnya ada bicara, tak boleh cakap di luar.

“Tak apalah, kita tunggu hari Isnin. Saya tidak akan lari, saya ada di sini,” katanya lagi.

Mohamed Khaled mungkin telah bersedia namun persoalan lebih penting ialah adakah beliau akan diberikan ruang seluas-luasnya menjelaskan dakwaan dilemparkan kepada beliau?

Ataupun adakah satu serangan hendap telah dirancang bagi menekan Mohamed Khaled Isnin ini?

Para wakil rakyat pembangkang begitu berhati-hati dalam menuturkan perkara ini.

Adun Senai Wong Shu Qi dari DAP, yang menyebut isu ini dalam sidang DUN Isnin lepas, menyoal sama ada Mohamed Khaled ada menerima wang sejumlah RM12 juta untuk mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status lain.

Shu Qi, yang memetik kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepanjang 140 mukasurat yang dibocorkan dalam internet, kelihatan yakin dengan maklumat yang diperolehinya itu.

Diluar dewan pula, dimana tiada imuniti diberikan kepada Adun, wakil rakyat pembangkang cukup berhati-hati dalam mengutarakan isu ini.

Namun, saksi dan salah seorang tertuduh dalam skandal tersebut, Amir Shariffuddin Abd Raub telah membuat laporan polis berkaitan kebocoran dokumen siasatan itu, mendakwa ia berbeza dengan keterangan yang diberikannya pada SPRM.

“Terdapat beberapa halaman tiada disertakan, malah terdapat satu jadual pembayaran yang dimuatkan yang tiada kena mengena langsung dengan siasatan yang dijalankan ke atas saya.

“Muka depan Penyataan Dalam Pemeriksaan itu berbeza dengan yang dibuat oleh saya. Saya dapati pemilik blog dan Facebook itu sengaja cuba menjatuhkan maruah saya,” Amir berkata dalam laporannya.

Jadual yang diterbitkan dalam blog tersebut mendakwa Mohamed Khaled ada menerima wang dalam skandal ini.

Namun laporan polis Amir seolah-olah menyangkal perkara ini dan pastinya membuatkan wakil rakyat pembangkang tersepit.

Malah, laporan The Mole turut menyebut bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan jadual yang diterbitkan dalam blog itu.

Menurut The Mole, sumber terdekat Mohamed Khaled mendedahkan menteri besar Johor tersebut tidak berada dalam negeri pasa 17 Jun, tarikh yang dikatakan dia ada menerima sejumlah RM700,000 wang rasuah bagi menukarkan status perumahan lot Buniputera.

Beliau ketika itu berada di tabah suci dan sedang menunaikan ibadah umrah, dimana seperti yang ditunjukkan melalui posting Instagram beliau.

Pilihan Raya Ke-14 semakin menghampiri, segala bentuk negativiti yang dapat dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) akan menjadi butir peluru buat Pakatan Harapan (PH).

Dengan keraguan sedia ada ini, adakah wakil rakyat pembangkang akan membenarkan Mohamed Khaled ruang dan waktu menjelaskan tuduhan terhadapnya, ataupun adakah serangan-serangan tertentu akan dilancarkan pada hari tersebut?

Memetik kata Mohamed Khaled, “Tak apalah, kita tunggu hari Isnin.”

(Visited 38 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66