Kaitkan MB dengan rasuah, Adun DAP diarah keluar Dewan

Kaitkan MB dengan rasuah, Adun DAP diarah keluar Dewan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Wong Shu Qi diperintahkan keluar dari Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam kerana enggan menarik balik kenyataan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disifatkan sebagai satu sangkaan buruk.

Speaker Tan Sri Mohamad Aziz mengarahkan Shu Qi, yang juga Adun Senai, untuk meninggalkan dewan Dun setelah memberi peluang kepadanya menarik balik kenyataan dibuat terhadap Khaled.

“Senai, kita ada peraturan yang perlu dipatuhi. Kita anggota Dun jika tidak mahu tarik balik, ini bercanggah dengan peraturan.

“Jadi saya menggunakan kuasa yang ada pada saya untuk arahkan Senai keluar dari dewan sekarang juga,” kata Mohamad.

Keputusan dibuat Mohamad itu kerana Shu Qi melanggar Peraturan 50 Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dun Johor yang menyebut seseorang ahli DUN tidak boleh mendatangkan sangkaan buruk kepada seseorang ahli yang lain.

Shu Qi bagaimanapun hanya digantung satu hari dan boleh kembali menyertai sesi Dun hari ini.

Shu Qi ketika membahaskan Bajet Johor 2018 mengeluarkan kenyataan menyoal sama ada benar atau tidak Khaled ada menerima sejumlah RM12 juta, dengan RM11.2 juta darinya dalam bentuk wang tunai bagi mengubah status lot perumahan Bumiputera kepada status lot yang lain.

Shu Qi berkata maklumat ini diperolehinya dari laman web yang tidak dinamakan, yang memuat naik kenyataan saksi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes skandal hartanah Johor Mac lalu.

Dakwaan Shu Qi menyebabkan beberapa Adun pihak kerajaan bangkit menggesa Shu Qi menarik balik kenyataannya.

Shu Qi bagaimanapun enggan dan berkata dia hanya bertanya dan tidak berbuat sangkaan jahat terhadap Khaled.

Khaled yang juga Adun Permas bagaimanapun tiada dalam dewan ketika isu ini diutarakan.

(Visited 47 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66