JANGAN BN DIHUKUM DIATAS DOSA PIHAK LAIN! – @TPJ1

KOTA ISKANDAR, 26 Nov – Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill Sdn Bhd perlu mengemukakan alasan yang kukuh jika menolak cadangan kerajaan negeri Johor untuk membeli syer majoriti dalam syarikat berkenaan demi kepentingan rakyat Johor khususnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata, difahamkan bahawa syarikat berkenaan telah memiliki sebanyak 80 peratus kepentingan dalam urus tadbir dan pada masa yang sama kerajaan negeri hanya memiliki 20 peratus sahaja dan perlu berduduk diam dengan jumlah suara yang sangat terhad.

“Untuk menangani kemelut ini, kerajaan negeri dicadangkan untuk memanfaatkan simpanan rizab tunai sejumlah hampir RM4 Bilion dan dengan hanya peratus kecil dari jumlah berkenaan sudah pasti cukup untuk membeli saham dalam syarikat induk berkenaan. Saham berkenaan telah diapungkan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

“Bimbang dengan penyenaraian syarikat berkenaan di BSKL itu sekali gus akan membuka peluang kepada pelabur asing yang bakal menguasai sepenuhnya sama ada urus tadbir atau hala tuju syarikat konsesi penswastaan air berkenaan.

“Tidak mustahil andaikata syarikat konsesi penswastaan air ini tiba tiba dimiliki oleh Syarikat Temasek Holdings yang beribupejabat di Singapura umpamanya dan secara langsung akan mengawal sepenuhnya industri air di negeri Johor, katanya ketika membahaskannya di sidang dewan undangan negeri Johor hari ini.

Menurut beliau, seandainya Syarikat Air Johor itu jatuh ke tangan syarikat asing melalui penguasaan saham, sudah tentunya akan wujud ‘Sabotaj Ekonomi’ oleh pelabur asing berkenaan dan terdedah kepada ancaman dan percaturan persaingan dari negara jiran yang begitu mencemburui kemajuan ekonomi negeri Johor untuk terus berdepan dengan cabaran di masa hadapan.

“Memang benar proses pengambilalihan syarikat asing terhadap syarikat tempatan adalah rumit dan perlu melalui beberapa proses tetapi ianya tidak boleh dipandang ringan kerana kita tidak mahu sejarah kehilangan daulat terhadap Pulau Batu Putih berulang kembali dan perlu mencegahnya terlebih dahulu agar dapat mengekalkan kedaulatan yang sedia ada.

“Pada tahun lalu negeri Johor dikejutkan dengan tragedi catuan air yang begitu memberi kesan di beberapa daerah dan tidak dinafikan bahawa punca permasalahan tersebut adalah akibat kegagalan syarikat berkenaan sebagai operator menguruskan perbekalan air bagi negeri Johor.

“Kita sedar kemarau yang berpanjangan adalah salah satu faktor terjadinya catuan air berkenaan, namun ianya bukanlah alasan mutlak yang boleh diterima akal serta sebagai operator yang mengurus dan merawat air seharusnya SAJ Ranhill melaksanakan persiapan bagi menghadapi kemarau yang sudah tentunya boleh diramal dengan menggunakan teknologi sedia ada, katanya

Tambah beliau, dengan menggunakan teknologi canggih yang telah sedia ada membolehkan kerajaan, rakyat dan syarikat ini terutamanya membuat persiapan awal dengan rapi. Justeru, syarikat berkenaan sudah pastinya boleh mengurangkan kemudaratan yang bakal di hadapi rakyat jika mereka mahu dan benar-benar ikhlas memberi perkhidmatan kepada rakyat terutamannya.

“Desas desus kini hangat mengatakan bahawa ada kemungkinan SAJ akan membekalkan air kepada syarikat pemaju Forest City dan tindakan sebegitu merupakan sikap amat tidak bertanggungjawab kerana ia seolah-olah membelakangkan keputusan kerajaan negeri yang begitu jelas mensyaratkan agar pemaju wilayah pembangunan tersebut mencari sumber air sendiri dan tidak menjejaskan kepentingan rakyat serta negeri Johor.

“Kita tidak mahu hanya kerana kepentingan untuk mengaut keuntungan, rakyat dan bangsa Johor terdedah kepada kemungkinan tercetusnya lagi krisis air di negeri Johor. Malah, mengikut laporan, wilayah tersebut memerlukan sejumlah lebih kurang 600 Juta Cubic Mililiter air setiap hari apabila  pembangunan tersebut disiapkan sepenuhnya dan jumlah tersebut menyamai permintaan air bagi seluruh kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang.

“Berdasarkan kepada permintaan sebegitu tinggi yang diperlukan, dikhuatiri SAJ bakal memesongkan  keperluan pengunaan domestik terdiri dari rakyat marhaen yang begitu bergantung harap kepada kerajaan negeri, katanya.

ADUN Kempas itu juga turut menyatakan bahawa pihaknya tidak mahu rakyat menuduh dan menghukum kerajaan yang memerintah di bawah parti Barisan Nasional (BN), walhal ianya berpunca daripada pihak lain yang membuat keputusan sambil mengaut keuntungan beratus juta.

“Kini kerajaan di dalam situasi di mana orang lain yang buat keputusan, orang lain juga yang menjadi kaya, malah rakyat yang menderita tetapi kerajaan BN yang dihukum pula.

“Masih ramai lagi di luar sana yang tidak tahu bahawa walaupun namanya Syarikat Air Johor, namun demikian ianya bukanlah dikuasai oleh kerajaan Johor.

“Jika ianya diteruskan juga, kita mahu setiap bangsa Johor wajib di beritahu siapa dalang-dalang sebenarnya yang menyebabkan tangki-tangki dan paip-paip air yang menyalurkan bekalan air ke rumah-rumah mereka kekeringan”, katanya.

(Visited 215 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.