#BajetJohor2018: Skim Takaful Bantu Rakyat Dapat Rawatan Pakar KPJ

Bajet Johor 2018: Skim Takaful Bantu Rakyat Dapat Rawatan Pakar KPJ

 

KOTA ISKANDAR, 23 Nov – Keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kemudahan rawatan dan perubatan kepada rakyat terus diberi perhatian dalam Bajet Johor 2018 dan atas sebab berkenaan dua skim perlindungan takaful diperkenalkan dengan tumpuan diberi kepada penjawat awam dan golongan kurang berkemampuan.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi penjawat awam, Program Takaful Penghospitalan & Pembedahan serta Program Takaful Kemalangan Diri Penjawat Awam Negeri Johor diperkenalkan manakala seramai 10,184 orang penjawat awam negeri bakal menerima manfaatnya dengan peruntukan sebanyak RM6.21 juta.

“Skim ini merupakan satu kemudahan tambahan daripada kemudahan rawatan kesihatan sedia ada yang dinikmati penjawat awam mengikut Pekeliling Bilangan 21, 2009.

“Di bawah inisiatif baharu ini, subsidi separuh daripada kadar bayaran caruman bulanan kad perubatan akan diberi, yang akan melayakkan penjawat awam negeri dan ahli keluarga mereka menerima faedah rawatan pakar di hospital-hospital Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) dengan kadar RM60,000 setahun.

“Ia juga memberi perlindungan sehingga RM220,000 bagi kes-kes kemalangan yang mengakibatkan kematian dan keilatan kekal,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2018 pada Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Johor ke-13, di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, bagi golongan kurang berkemampuan pula, mereka turut berpeluang menerima rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan pakar, melalui Skim Perlindungan Takaful bagi golongan asnaf dan penerima Skim Bantuan Am di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Dengan adanya skim berkenaan ia membolehkan mereka mendapat rawatan pakar bagi penyakit-penyakit kronik, pampasan kematian dan perbelanjaan pengebumian.

“Caruman sebanyak RM120 setahun akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” katanya.

Menurut beliau, seramai 10,000 ribu orang asnaf dan 5,724 penerima bantuan Am akan menerima perlindungan takaful berkenaan dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.9 juta.

(Visited 116 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66