#BajetJohor2018: Dekad Baharu Johor

Bajet Johor 2018: Dekad Baharu Johor

 

KOTA ISKANDAR, 23 Nov – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengutarakan misi baharu untuk negeri itu bagi membangunkannya menjadi negeri paling membangun dan sejahtera dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menggelarkan misi berkenaan sebagai ‘Dekad Baharu Johor’, beliau berkata Johor memerlukan dorongan baharu yang berupaya menterjemahkan falsafah pembangunannya iaitu Gagasan Johor Berkemajuan, dengan lebih berkesan dan berjaya berdasarkan potensi negeri itu yang luar biasa.

“Johor memerlukan lonjakan yang radikal dan transformatif, yang akan memberikan wajah baharu kepada iklim ekonomi dan landskap kesejahteraan rakyatnya.

“Melalui misi ini, dalam masa 10 tahun akan datang akan bermulalah era baharu untuk Johor yang akan menyaksikan dekad penuh dengan pertumbuhan ekonomi yang agresif dan peningkatan kesejahteraan rakyatnya secara transformatif,” katanya ketika pembentangan Bajet Johor 2018 pada Persidangan Dewan Negeri Johor di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, hala tuju misi itu akan memperlihatkan pembangunan serta perubahan struktur ekonomi yang drastik bagi negeri Johor.

“Ekonomi Johor mesti dipacu oleh idea besar, kreativiti, teknologi dan inovasi. Kita akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital, kreatif dan hijau secara besar-besaran di samping memberikan lonjakan baharu kepada sektor ekonomi tradisional.

“Dekad Baharu Johor juga akan menyaksikan transformasi sistem, budaya kerja dan norma kehidupan kepada kerajaan dan masyarakat digital, sekaligus menjadikan Johor sebuah negeri pintar,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pembangunan Dekad Baharu Johor merupakan satu impian besar dan akan dipandang secara prejudis dan pesimis oleh sesetengah pihak, namun ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.

“Pada saya dan seluruh jentera kerajaan negeri, adalah tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab jika sebagai pemimpin, kita tidak mengambil pendirian patriotik untuk membentangkan satu lembaran baharu demi masa depan Johor dan anak bangsanya.

“Dengan kepimpinan yang berdasarkan prestasi, Johor telah menjadi sebuah negeri paling berdaya saing di Malaysia. Maka tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh diberikan mandat sekali lagi untuk terus memimpin Kerajaan Negeri pasca PRU ke-14 kelak”, katanya.

(Visited 49 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.