#BajetJohor2018: Pembangunan Kota Larkin Jayakan Dasar Kependudukan Melayu di Bandar

Bajet Johor 2018: Pembangunan Kota Larkin Jayakan Dasar Kependudukan Melayu di Bandar

 

ISKANDAR PUTERI, 23 Nov – Kerajaan Negeri Johor hari ini mengumumkan pembangunan sebuah kawasan penempatan Melayu di Larkin dalam pembentangan Bajet Johor 2018.

Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, kawasan industri Larkin telah dikenal pasti untuk projek pembangunan semula itu yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

“Saya sering menegaskan bahawa menjadi dasar serta komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan lebih ramai orang Melayu tinggal di bandar dan mempunyai pemilikan aset hartanah strategik di kawasan bandar.

“Usaha ini adalah bagi menjayakan Dasar Kependudukan Melayu di Bandar. Kawasan ini akan dinamakan sebagai Kota Larkin dan akan mengguna pakai konsep pembangunan bercampur,” katanya.

Beliau berkata, Fasa 1 akan dimulakan pada tahun 2018 melibatkan pembinaan 246 unit rumah PKJ-A dengan kos RM50 juta, dan kesemua hartanah ini akan diberikan status Rizab Melayu.

Mohamed Khaled juga membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menjaga pemilikan tanah Rizab Melayu apabila mengumumkan kurniaan hak milik tanah kepada 6,638 penerima dari 38 buah kampung di sembilan buah daerah iaitu Johor Bahru seramai 521 penerima dari 8 buah kampung, di daerah Kulai seramai 169 penerima dari 4 buah kampung.

“Bagi daerah Kota Tinggi seramai 537 penerima dari 4 kawasan manakala di daerah Mersing seramai 666 penerima dari 3 kawasan dan di daerah Segamat dengan masing-masing akan diberikan kepada 3,280 penerima dari 7 kawasan dan 97 penerima dari 2 kawasan Tangkak.

“Di daerah Batu Pahat pula seramai 157 penerima dari 4 buah kampung dan di daerah Kluang seramai 1,124 penerima dari 5 kawasan serta daerah Pontian pula seramai 87 penerima akan menerima kurniaan hak milik tanah berkenaan”, katanya.

Mohamed Khaled berkata, tumpuan juga akan turut diberikan bagi menyelesaikan masalah setinggan di Johor.

“Untuk menampung perpindahan penduduk setinggan yang layak dan selama ini menetap di atas tapak lama Kem Tebrau, Kerajaan Negeri melalui KPRJ akan membina 1,000 unit PKJ-A dan PKJ-B.

“Kawasan penempatan baharu itu bukan sahaja akan menawarkan penempatan semula kepada para penduduk perkampungan setinggan di sana, malah kesemuanya juga akan diberikan status tanah Rizab Melayu”, katanya.

 

(Visited 76 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.