#BajetJohor2018: Johor Ke Arah Kerajaan Digital

Bajet Johor 2018: Johor Ke Arah Kerajaan Digital

 

KOTA ISKANDAR, 23 Nov – Kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif strategik Johor 4.0 untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memartabatkan masyarakat melalui penggunaan teknologi digital.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, istilah ‘4.0’ itu diletakkan sebagai rujukan kepada Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR) kerana pembangunan Johor yang pesat perlu digerakkan oleh jaringan maklumat yang pantas dan canggih melalui prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang moden dan terkini, selari dengan 4IR di seluruh dunia.

“Sebagai permulaan, RM5 juta diperuntukkan untuk memfokuskan dulu kepada usaha mendigitalkan sektor-sektor utama ekonomi Johor ke arah model perniagaan baharu sekaligus menjadikan Johor tumpuan serantau dan hab perniagaan global.

“Dari segi pembinaan infrastruktur, Fasa Pertama akan meliputi kawasan Iskandar Malaysia dengan membabitkan kos berjumlah RM40 juta bagi mewujudkan prasarana gentian optik agar rakyat dapat menikmati internet jalur berkelajuan ultra.

“Bahagian Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor juga akan diperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi tujuan pembangunan projek dan infrastruktur digital. Antara cakupan utama di bawah inisiatif ini adalah Sistem e-Kewangan Johor, Sistem Pemantauan Projek dan Sistem Hasil Tanah versi 2.0,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2018 di Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-13 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan menjadikan Johor sebagai negeri pintar sejajar dengan misi kerajaan negeri membangunkan dekad baharu bagi Johor.

“Ianya adalah visi kerajaan negeri untuk memastikan antaranya Johor akan terhubung dengan internet secara menyeluruh malah semua komunikasi kerajaan dengan rakyat akan sepenuhnya dipacu oleh media sosial dan teknologi komunikasi termaju.

“Semua sistem Kerajaan juga akan beralih kepada sistem digital secara agresif, tetapi berperingkat mulai sekarang dan dalam masa 10 tahun akan datang, kita akan mempunyai kerajaan digital secara menyeluruh,” katanya.


 

(Visited 53 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com