Sultan Johor bimbang kemelut menghantui Melayu

Sultan Johor bimbang kemelut menghantui Melayu

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyuarakan kebimbangannya mengenai kemelut yang menghantui orang Melayu ketika ini.

Baginda bertitah untuk tidak membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku kerana ia hanya akan membuatkan Melayu berpecah belah dan lemah.

“Akan tetapi, pada hari bersejarah ini juga, saya ingin menyuarakan kebimbangan saya yang sangat mendalam terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu pada saat dan detik ini.

“Dari hari ke hari, orang Melayu terheret dengan krisis kredibiliti yang mencalar imej dan kepercayaan kepada institusi yang dipimpin oleh orang Melayu yang akhirnya menyusutkan keyakinan, pengaruh dan kuasa sebenar orang Melayu,” titah baginda dalam kenyataan sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-59.

Baginda turut menambah yang orang Melayu harus mencari penyelesaian segera untuk meleraikan kekusutan ini.

“Biar apa pun yang mendatang, kepentingan dan pengaruh orang Melayu mesti dijaga sebaiknya. Tanpa kompromi, tanpa dolak dalih. Lebih-lebih lagi di Johor, di mana bermulanya perjuangan Melayu yang paling tersusun dan berjaya dan menjadi benteng yang kuat di negara ini,” titah baginda.

Jelasnya, orang Melayu perlu bersatu untuk menjadi bangsa besar yang berpengaruh tanpa menyinggung atau mengenepikan bangsa lain.

“Jangan hanya sibuk melaungkan tentang hak keistimewaan, tetapi sesama bangsa Melayu hidup leka dan bersengketa. Pemimpin mengambil segala pendekatan dan mencari jalan terbaik untuk menjadikan kedudukan orang Melayu lebih baik dan dihormati.

“Untuk itu, suka saya nasihatkan semua pemimpin Melayu supaya bermuafakat, duduk semeja dan berlapang dada untuk berbincang tentang masalah bangsa dan memberi fokus untuk meningkatkan maruah serta menjaga kepentingan orang Melayu. Kembalikan rasa percaya dan rasa setia orang Melayu kepada para pemimpinnya.”

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim berkata, Bangsa Johor mempunyai sikap toleransi bangsa dan agama yang tinggi, satu hadiah yang amat berharga buat baginda.

(Visited 89 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66