Johor kaji punca rumah tak terjual – @KhaledNordin

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak menolak kemungkinan lambakan rumah di Johor kerana dasar penjualan rumah bernilai RM1 juta keatas untuk warga asing.

Menurut Mohamed Khaled, pemaju mungkin terperangkap dengan dasar yang ditetapkan kerajaan pusat tersebut yang digubal pada 2015.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengkaji perkara ini setelah laporan menunjukkan Johor merekodkan peratusan tertinggi unit rumah tidak terjual dalam negara.

“Sebelum ini, orang asing boleh beli rumah RM500,000. Jadi, apabila ia (rumah) sudah siap, dia (pembeli asing) terperangkap dengan dasar kerajaan pusat.

“Tetapi, kita akan ambil perhatian apa yang Bank Negara katakan. Kita akan cari puncanya sama ada dari segi sistem pengagihan, nama pembeli lambat diluluskan kerajaan atau mungkin kelulusan bank lambat dan sebagainya. Itu semua kita akan kaji,” Mohamed Khaled berkata, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia, bahawa Johor mempunyai jumlah unit kediaman terbesar tidak terjual iaitu sebanyak 27% berbanding Selangor (21%), Kuala Lumpur (14%) dan Pulau Pinang (8%).

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri telah lebih awal membekukan pembinaan rumah pangsapuri perkhidmatan sejak 2014 setelah melihat kesan dan implikasinya yang mungkin tidak terjual.

“Bagaimanapun, ada pemaju yang berkemampuan masih ingin membina rumah jenis itu kerana mungkin berdaya menanggung kerugian sekiranya rumah itu tidak terjual,” tambahnya lagi.

Beliau turut menzahirkan harapan terdapat lebih banyak pemaju membina rumah mampu milik di masa depan, khususnya di Johor Bahru.

Rumah Mampu Milik Johor yang berharga diantara RM35,000 hingga RM150,000 merupakan skim perumahan terendah dalam negara.

(Visited 188 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66