PAS pertaruh Salehuddin pula untuk Nusajaya

PAS pertaruh Salehuddin pula untuk Nusajaya

Selepas gagal dalam usaha memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya dalam Pilihan Raya ke-13 (PRU13) walaupun mempertaruhkan naib presidennya ketika itu, PAS kini mula mengorak langkah untuk memenangi kerusi tersebut dalam Pilihan Raya ke-14.

Jika dalam PRU13 dahulu calon PAS yang dipertaruhkan ialah Salahuddin Ayub, PAS kini dilihat bakal meletakkan Yang Dipertua PAS Gelang Patah Salehuddin Mohd Dahiran pula dalam PRU14.



Ini berikutan tindakan PAS Johor yang menamakan Salehuddin selaku penyelaras DUN Nusajaya dalam sebuah majlis Sabtu lalu.



Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussin bagaimanapun berkata ia tertakluk kepada kelulusan dari Majlis Syura dan kepimpinan pusat untuk menentukan sama ada Salehuddin akan dipilih.

“Gambarannya begitulah tapi keputusan akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi,” kata Abdullah ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Salehuddin dilantik menjadi Yang Dipertua PAS Gelang Patah setelah kawasan PAS tersebut hampir lumpuh susulan pengunduran beramai-ramai pimpinan PAS kawasan untuk menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Salahuddin pula, yang merupakan calon Menteri Besar blok pembangkang dalam PRU13, telah keluar dari PAS dan kini menjawat jawatan Timbalan Presiden PAN.

Sementara itu, Abdullah berkata PAS, walaupun bersendirian, mampu untuk meraih sokongan orang muda menyokong mereka.

“Bandingkan kehadiran pemuda dalam himpunan Fastaqim 2.0 dan Himpunan Anti-Kleptokrasi, kehadiran pemuda lebih ramai di Fastaqim walaupun generasi ini lebih dekat dengan media sosial dimana kita sering diperlekehkan dan dikatakan tidak mendapat sokongan rakyat.”

Adun Puteri Wangsa tersebut turut menambah bahawa PAS, terutamanya di Johor, lebih selesa untuk kekal bersendirian berbanding berkerjasama dengan Barisan Nasional ataupun Pakatan Harapan.

Menurutnya, PAS boleh berkerjasama dengan mana-mana parti untuk kepentingan agama dan bangsa namun itu tidak bermakna PAS akan menyertai mana-mana gabungan dengan BN ataupun PH.

(Visited 76 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.