31 Keluarga Terima Kit Deepavali @SWMenvironment – YB @Vidyananthan

JOHOR BAHRU, 15 OKT – Beban persediaan bagi menyambut kedatangan perayaan Deepavali yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi sedikit berkurangan bagi keluarga yang kurang berkemampuan dari segi pendapatan apabila pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) melalui entiti tanggungjawab sosial korporatnya, SWM Kasih tampil menyalurkan sumbangan Kit Deepavali SWM Kasih.

Kit Deepavali SWM Kasih yang berbentuk barangan keperluan dapur dan kuih raya tersebut telah diserahkan kepada sebanyak 31 buah keluarga oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor, Yang Berhormat En. Vidyananthan A/L Ramanandhan bersempena acara kemuncak program SWM Kasih Santun Deepavali bertempat di Kuil Sri Maha Siva Muniswarar Tampoi.

Program yang berteraskan nilai kemasyarakatan dan kesukarelawanan tersebut telah dianjurkan secara usahasama antara pihak SWM Environment dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Santun Johor yang turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kuil Sri Maha Siva Muniswarar Tampoi.

Terdahulu, Pengurus Wilayah Johor, En. Mohd Zan Arris dalam ucapannya menyifatkan persinggahan entiti SWM Kasih ke rumah ibadah tersebut bukan sekadar memeriahkan sambutan perayaan Deepavali malah turut memberi peluang kepada pihak SWM Environment dan para sukarelawan yang terlibat dalam program ini untuk meraikan kemajmukan dan keunikan budaya masyarakat India di Malaysia seiring dengan semangat Muafakat Johor yang digagaskan oleh kerajaan negeri Johor.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kerjasama erat diberikan oleh pihak jawatankuasa kuil berkenaan yang bukan sekadar membuka pintu rumah ibadah berkenaan bagi tujuan program tersebut malah bersama-sama membentuk kesedaran tentang kaedah Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSDP) kepada pengunjung kuil berkenaan serta penerima bantuan yang terpilih.

Selain sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur dan kuih raya, pihak SWM Environment juga mengambil kesempatan tersebut melalui entiti SWM Kasih untuk menyalurkan sumbangan berjumlah RM1,000.00 kepada Jawatankuasa Kuil Sri Maha Siva Muniswarar Tampoi bagi tujuan kebajikan dan pembangunan rumah ibadah tersebut.

USAHA MEMBERI MAKNA DEEPAVALI

Malah, sambutan Deepavali bagi seorang warga emas, Sutha Devi (turut dikenali sebagai Aunty Mala) yang hidup bersendirian selama ini sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya apabila sekumpulan sukarelawan di bawah kelolaan Pertubuhan Santun Johor tampil menghidupkan suasana kemeriahan perayaan tersebut menerusi acara Deko Deepavali dengan aktiviti seperti mengecat dan mengemas kediaman beliau.

Usaha memberi makna Deepavali kepada beliau terus diterjemah dengan kesudian Yang Berhormat En. R. Vidyananthan menziarahi beliau bersama delegasi pengurusan SWM Environment selain untuk menyerahkan sumbangan Kit Deepavali SWM Kasih.

(Visited 69 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com