@MuhyiddinYassin boleh pertahankan Pagoh – Saifuddin

Saifuddin: “Muhyiddin boleh pertahankan Pagoh”

Pakatan Harapan (PH) yakin bahawa pengerusinya di Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang sedang disandangnya.

Perkara ini dizahirkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, walaupun spekulasi sebelum ini mengatakan bahawa Muhyiddin mungkin meninggalkan Pagoh untuk bertanding di Parlimen Muar dalam pilihan raya akan datang.

“Sasaran kita disini (Johor), kita nak menang di Pasir Gudang, di Johor Bahru, di Tebrau.

“Disini, kita nak menang di Pulai, kita nak kalahkan Timbalan Menteri (Pertahanan Datuk Nur Jazlan Mohamed) di kawasan Parlimen.

“Itu sahaja belum cukup…di Muar mesti kita sasarkan. Kita yakin Tan Sri (Muhyiddin) boleh kekalkan penguasaan di Pagoh,” kata Saifuddin dalam ucapannya di majlis perasmian Pakatan Harapan Johor di Taman Dahlia, Pulai, semalam.

Saifuddin semalam mewakili Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak dapat hadir semalam.

Menurutnya lagi, kerusi-kerusi yang mahu dirampas PH ini, ditambah dengan kerusi-kerusi Parlimen yang sudah berada dalam tangan blok pembangkang tersebut, akan membantu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 nanti.

“Sementara kerusi-kerusi dimenangi DAP kita juga yakin dapat dipertahankan.

“Kalau kita boleh menambah kemenangan di kerusi-kerusi parlimen di Johor, kita yakin dengan bertambahnya kerusi parlimen kita menangi akan mencerahkan peluang kita menawan Putrajaya,” katanya lagi.

Muhyiddin, yang sudah lebih 40 tahun berkhidmat selaku Ahli Parlimen Pagoh, dilantik secara konsensus oleh Pakatan Harapan untuk menjadi pengerusi pakatan pembangkang tersebut di Johor.

Bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden UMNO itu juga sebelum ini pernah menjadi menteri besar Johor selama dua penggal.

Selepas dipecat dari UMNO, Muhyiddin bersama-sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), yang kini merupakan parti komponen PH, yang turut dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN).

Pribumi juga dilihat bakal memainkan peranan penting dalam usaha PH menawan negeri Johor.

(Visited 57 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com