Isu dobi ‘mesra Muslim’: Menjunjung kasih tuanku

Isu dobi ‘mesra Muslim’: Menjunjung kasih tuanku.

Dasar “mesra Muslim” yang diperkenalkan oleh sebuah kedai dobi layan diri atas “faktor kesucian” telah mendapat reaksi pelbagai pihak dari peringkat bawahan, rakyat sehinggalah ke istana.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut masing-masing memuji usaha yang dilakukan oleh pemilik Elit Laundry di Muar yang disifatkan sebagai “cantik” dan “falsafahnya tidak asing” untuk memastikan tiada najis.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas tindakan pengusaha yang tidak membenarkan orang bukan Islam daripada menggunakan perkhidmatannya dan mahu pemiliknya memohon maaf atau menutup premis tersebut.

Umpama ‘marah anak sindir menantu’, kenyataan yang dikeluarkan oleh Sultan Ibrahim itu sebenarnya perlu dilihat dari skop yang lebih luas dan bukannya tertutup dalam ruang lingkup isu dobi ‘mesra Muslim’ sahaja.

Teguran dan peringatan Sultan Ibrahim “Saya tidak boleh menerima perkara karut ini. Ini Johor, ia milik Bangsa Johor dan milik semua kaum dan agama. Ini sebuah negeri progresif, moden dan sederhana” jelas ditujukan kepada semua kaum di Johor.

Sebelum isu dobi ‘mesra Muslim’ menjadi tular di media, amalan diskriminasi telah banyak berlaku di negara ini dan boleh dilihat di dalam iklan tawaran kerja syarikat swasta yang secara halus cuba menafikan hak kaum tertentu untuk mendapatkan kerja.

Syarikat-syarikat ini mengenakan syarat sampingan yang tidak munasabah seperti ‘Chinese preferred’, ‘Chinese speaker only’, ‘Chinese only’ dan lain-lain lagi. Bukankah ianya satu bentuk diskriminasi yang kini seolah-olah sudah menjadi amalan lazim di Malaysia?

Sultan Ibrahim telah beri garis panduan yang jelas supaya tiada lagi amalan dasar diskriminasi di Johor atau berdepan dengan penutupan serta keluar dari negeri itu jika mahu terus bersikap keras kepala.

Pujian harus diberikan kepada pemilik Elit Laundry yang tidak mengambil masa yang lama untuk memohon maaf dan akur dengan arahan istana untuk tidak lagi meneruskan dasar diskriminasi itu.

“Saya sudah patuh pada titah Tuanku. Saya memohon maaf pada Tuanku, rakyat Johor atas apa yang berlaku dan berharap kekecohan selama beberapa hari ini akan reda. Saya sudah tidak menggunakan papan tanda berkenaan,” katanya seperti dilapor FMT.

Langkah ini juga harus dijadikan teladan kepada syarikat-syarikat swasta daripada terus bersikap keras kepala dengan melawan arus yang sudah ditetap oleh Sultan Ibrahim supaya pada masa akan datang, tidak timbul lagi polemik seperti yang berlaku pada hari ini.

(Visited 472 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66