‘Surat Sungai’ Untuk Umno Johor

‘Surat Sungai’ Untuk Umno Johor

Oleh Mahdzir Ibrahim

 

Sekali lagi Umno Johor menggunakan Bangsa Johor sebagai retorik politik mereka. Jika sudah demikian, saya rasa sudah sampai masanya polemik ini menjadi wacana yang subur kepada rakyat, bukan hanya untuk orang-orang politik.

 

Saya mengambil iktibar sejarah Johor yang suatu waktu dahulu membawa masuk secara pukal peniaga-peniaga China dari Singapura untuk berdagang dinegeri Johor.

 

Hari ini, langkah tersebut boleh dianggap sebagai ‘Foreign Direct Investment’ (FDI) atau pelaburan langsung asing menerusi sistem Kangchu yang diperkenalkan pada 1884.

 

Ketika itu, negeri Johor mempunyai saiz tanah luas yang terbiar, yang belum diteroka dan subur, ini menjadikan ia sebagai aset penting untuk memulakan penerokaan aktiviti ekonomi.

 

Manakala pedagang dari China yang berniaga di Singapura pula mempunyai keupayaan modal wang dan jaringan pasaran.

 

Kedua kapital ini digabungkan hingga aktiviti ekonomi dapat dijalankan dan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan hingga membawa kemakmuran ekonomi buat semua.

 

Amat berbeza dengan keadaan hari ini apabila kemasukan modal daripada China, telah mengabaikan pengusaha tempatan. Inilah beza yang amat ketara antara zaman sebelum Umno dengan zaman ketika Umno memerintah.

 

Ketika 1800an, pedagang China ini diberi lesen berhijrah menerusi ‘Surat Sungai’ untuk menjalankan aktiviti perladangan mereka dengan mematuhui syarat dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan, antaranya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor serta berkongsi keuntungan dengan negeri.

 

Berduyun-duyun peniaga China yang berada di Singapura ini berhijrah ke negeri Johor membuka ladang Gambir dan Lada Hitam.

 

Menerusi sistem kangchu ini jugalah struktur sosial mula berubah. Dari sinilah konsep Bangsa Johor muncul.

 

Waris-waris peniaga tersebut, hari ini diiktiraf sebagai sebahagian daripada ‘Bangsa Johor’ kerana telah bersama dan bersatu padu menyumbang kepada kemakmuran negeri. Maka tidak timbul lagi isu identiti.

 

Hari ini, konsep Bangsa Johor kembali berkumandang, namun kali ini slogan tersebut dijadikan modal politik oleh sesetengah pihak yang sudah gementar akan kehilangan kuasa politik dan pengaruhnya.

 

Ketua Pemuda Umno mengatakan bahawa, identiti Bangsa Johor ini tidak boleh diukur dengan angka atau semurah wang ringgit, saya bersetuju.

 

Namun, apalah maknanya identiti tersebut dilaung-laungkan oleh Pemuda Umno tetapi pada masa mereka terus membiarkan Bangsa Johor hidup terjerut dengan kenaikan kos sara hidup yang melampau dek kecuaian pentadbiran Najib Tun Razak, Perdana Menteri kesayangan mereka.

 

Bangsa Johor ‘sakit’ nak hidup akibat kesan daripada cukai GST. Adakah cukai ini diperkenalkan oleh Lim Guan Eng? atau Tun Mahathir?

 

Timbalan Menteri mereka dari Pontian berjanji bahawa GST akan menurunkan harga barangan harian. Janji ini bukan sahaja tidak benar, malah kos perbelanjaan rakyat terus meningkat sedangkan pendapatan boleh guna (disposable income), masih kekal pada paras sebelum GST dilaksanakan.

 

Sebelum GST dikuatkuasakan, kumpulan B40 ini jumlahnya sekitar 40 peratus. Ia masih kekal 40 peratus selepas GST dilaksana, sedangkan BR1M setiap tahun diberi dan ditambah, mengapa? Kerana salahurus kerajaan Kleptokrasi Najib.

 

Siapa kerajaan Kleptokrasi Najib ini? Ia adalah kerajaan yang didukung oleh kerajaan Umno Johor.

 

Mengapakah Umno Johor begitu mempertahankan Najib dan pada masa yang sama terus membiarkan Bangsa Johor menanggung derita kesan polisi kerajaan yang didukungnya? Kerana mereka enggan melakukan perubahan.

 

Umno Johor hari ini sudah tidak kenal antara kepentingan rakyat dengan kepentingan survival politik Najib Tun Razak.

 

Saya fikir belum terlambat untuk Khaled Nordin kembali kepada perjuangan rakyat. Sama seperti rakan-rakan dari Senggarang atau Rengit, anda belum terlambat untuk ke pangkal jalan.

 

Pada 1884, ‘ Surat Sungai ’ diberikan kepada mereka yang ingin berdagang dan memakmurkan negeri. Hari ini, kami juga ingin menawarkan ‘surat sungai’ kepada Khaled Nordin dan rakan-rakannya sebagai tawaran untuk beliau kembali bekerja bersama kami dan rakyat.

 

Surat Sungai ini boleh menyelamatkan masa depan Bangsa Johor dengan menyertai kami dan rakyat untuk menyahkan kerajaan Kleptokrasi Najib Razak dari Putrajaya.

 

Surat Sungai kepada Umno Johor ini akan dapat mengembalikan hak Bangsa Johor kepada Bangsa Johor yang dirampas oleh kerajaan Kleptokrasi Najib.

 

Janganlah kalian memperjudikan nasib Bangsa Johor dengan mempertahankan regim Najib Tun Razak yang korup. Janganlah memperalatkan Bangsa Johor demi kuasa politik Najib Tun Razak. Bangsa-bangsa yang besar di dunia, adalah bangsa yang menolak regim kleptokrasi.

 

Adakah Umno Johor mahu menjadikan bangsa Johor sebagai bangsa yang menyokong kerajaan kleptokrasi?

(Visited 123 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66