Sultan Ibrahim tidak setuju rekabentuk RTS dan peranan Prasarana

Sultan Ibrahim tidak setuju rekabentuk RTS dan peranan Prasarana

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempersoalkan peranan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang bakal menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan juga Woodlands di Singapura.

Ini susulan kerajaan pusat memilih Prasarana sebagai syarikat bertangungjawab bagi mengendali dan mengurus sistem operasi lintasan sempadan itu, termasuk sistem kereta api, landasan dan sistem isyarat projek tersebut.

Pemerintah Johor tersebut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri Johor sendiri tidak memainkan peranan tersebut.

“Mengapa mesti Prasarana? Mengapa tidak kerajaan negeri Johor? Kena ingat tanah adalah urusan negeri Johor, bukan kerajaan Persekutuan.

“Kalau kamu bukan orang sini, kamu tidak akan faham sentimen Johor,” Sultan Ibrahim dipetik sebagai berkata dalam satu temubul ekslusif bersama New Straits Time dan Berita Harian.

Singapura memilih SMRT Corp sebagai syarikat pilihannya dan Prasarana serta syarikat tersebut sedang berunding syarat projek membabitkan tempoh konsesi selama 30 tahun.

Sultan Ibrahim turut menekankan kerajaan Johot seharusnya mengambil langkah mengadakan usaha sama dengan kerajaan Singapura bagi projek mega tersebut.

“Projek ini bertempat di Johor, jadi mengapa Prasarana terbabit? Benarkan kerajaan negeri Johor dan Singapura mengadakan usaha sama dan saya boleh dapatkan dana jika perlu,” tegas baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menyatakan bahawa baginda tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain ketinggian jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.

“Pembinaan jambatan dengan ketinggian itu akan menjejaskan pemandangan bandar raya sepanjang Selat Johor, selain ketinggiannya tidak praktikal, tidak mapan dan kosnya berpotensi tinggi.

“Kerajaan Singapura dan Malaysia perlu runding semula reka bentuknya, kaji semula pelan dan runding dengan saya.

“Apa jua yang dikemukakan kepada saya mesti munasabah, berskala ekonomi dan mapan, bukan sahaja untuk orang Johor tetapi semua warga Malaysia dan Singapura,” katanya lagi.

Baginda berkata kos projek tersebut akan jauh lebih rendah sekiranya ianya dibina secara lurus dan lebih dekat dengan Tambak Johor.

“Jambatan itu lebih sesuai jika ketinggiannya sama dengan Tambak Johor atau sedikit lebih tinggi.

“Kami pandang penting mengenai reka bentuk itu dan bila saya cakap kami, ini merujuk kepada Johor.

“Jika saya tidak suka, rakyat Johor juga tidak suka. Jika anda lakukan juga, saya tidak merestuinya,” tegas Sultan Ibrahim.

Beliau turut menyarankan penggunaan satu kontraktor sahaja bagi menyiapkan projek mega tersebut di kedua-dua buah negara dan akan mengemukakan cadangan baginda kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada pertemuan mereka, bulan depan.

RTS bakal menjadi alternatif untuk 80,000 hingga 100,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari.

Ia dijangka mampu menampung pergerakan 10,000 pengguna di antara kedua-dua negara setiap jam.

 

(Visited 110 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com