Adat tradisi Johor bakal warnai perkahwinan Tun Aminah

Adat tradisi Johor bakal warnai perkahwinan Tun Aminah

JOHOR BAHRU: Istiadat perkahwinan Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim akan dilangsungkan dengan penuh tradisi dan adat istiadat budaya Johor.

Menurut Tun Aminah, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahukan perkahwinannya dengan Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos ini menampilkan keunikan, kekayaan warisan serta tradisi Johor.

“Tuanku Sultan pernah menunjukkan gambar perkahwinan ayahandanya (Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail) dan bondanya (Enche’ Besar Kalsom Abdullah) yang diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi Johor.”

“Baginda meminta saya mencontohinya bagi mengekalkan budaya dan tradisi Johor. Jika tidak, baginda khuatir keunikan kami sebagai orang Johor akan hilang dan dilupakan buat selama-lamanya,” Tunku Aminah dipetik sebagai berkata dalam kenyataan Royal Press Office (RPO).

Puteri tunggal Sultan Ibrahim bersama Tuanku Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang kini berusia 31 tahun tersebut merupakan anak kedua dari enam adik beradik.

Istiadat pertunangan akan diadakan pada pukul 10 pagi, 14 Ogos ini di Istana Bukit Serene diikuti dengan istiadat nikah, manakala upacara bersanding akan diadakan pada jam 8 malam hari yang sama di Bilik Singgahsana, Istana Besar.

Tun Aminah turut berbangga untuk mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga pada hari perkahwinannya.

Rekaan Teluk Belanga mula diperkenalkan di akhir kurun ke-19 semasa pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar. Ia tidak mempunyai kolar dan sulaman di bahagian leher dijahit dengan rekaan yang dikenali sebagai tulang belut.

“Memandangkan ini yang ayahanda dan bonda mahukan, saya tidak mempunyai masalah mengenakan busana tradisional Johor tulen untuk majlis perkahwinan itu nanti,” kata Tun Aminah.

Bakal suami, Dennis Muhammad pula akan mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.

“Ayahanda (Sultan Ibrahim) mahu dia (Dennis Muhammad) mengenakan dua kerongsang di songkok seperti mana pernah digunakan nenda (Almarhum Sultan Iskandar) pada perkahwinannya. Kerongsang ini diberikan kepada Almarhum Sultan Iskandar oleh bondanya Almarhumah Sultanah Aminah,” kata puteri Johor.

Tunku Aminah berkata selain alat kebesaran dan tradisi Diraja, perkahwinan itu sendiri akan berlangsung secara sederhana tetapi meriah bersama keluarga dan sahabat handai.

“Saya mahu ia menjadi satu majlis yang tenang dan meriah…itu yang paling penting. Ia tidak perlu diadakan secara besar-besaran dan penuh kemewahan,” katanya lagi.

(Visited 175 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.