Hanya Tun M boleh hancurkan UMNO – Salahuddin

Hanya Tun M boleh hancurkan UMNO

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai satu-satunya individu yang mampu untuk membantu pembangkang bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Salahuddin Ayub menggunakan peribahasa “hanya jauhari yang mengenal manikam” apabila mengulas tentang bekas perdana menteri tersebut yang kini merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Ianya selari dengan peribahasa Inggeris yang berbunyi “only diamond can cut diamond”.

“Tun Mahathir adalah “diamond” yang mampu menghancurkan kekebalan Umno yang telah berusia lebih 60 tahun, InsyaAllah,” Salahuddin berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam semalam.

Salahuddin, yang juga merupakan Naib Presiden PH berkata banyak pihak yang mempersoalkan sama ada Mahathir boleh dipercayai untuk memimpin blok pembangkang tersebut ekoran tindak tanduknya sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.

Salahuddin berkata Amanah bukanlah mahkamah yang boleh menjatuhkan hukum mahupun sebuah parti yang menyimpan dendan terhadap Mahathir.

“Amanah sentiasa mendepakan tangan untuk menyuburkan kebersamaan demi memperjuangan kepentingan rakyat seterusnya negara.”

Beliau turut berkata Mahathir, sebagai ahli politik yang lama dalam kancah politik negara mempunyai “sejarah masa silam yang panjang yang sebahagian menyebutnya sebagai ‘baggage’.”

“Di antara kita bebas membaca masa lampau beliau dan membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak dengan sikap serta pendirian politik terkini beliau khususnya terhadap urustadbir negara.

“Tiada sesiapapun yang boleh merampas hak dan kebebasan ini daripada sesiapa.”

Salahuddin berkata PH bersatu menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “kerana kesalahan yang beliau lakukan sekarang kepada rakyat dan negara.”

“Permusuhan di kalangan rakyat termasuk dengan Tun Mahathir hanya akan menjadikan Najib semakin bermaharajalela di tampuk kuasa,” tambahnya lagi.

Menurut Salahuddin, senario dalam negara hari ini membuatkan Amanah dan rakan komponen PH bersedia memberikan kepercayaan kepada Mahathir.

“Kami saling mempercayai dan dengan kekuatan inilah kami berjaya membina PH. Inilah mercu tanda yang kami bina sebagai cahaya harapan (Beacon of Hope) bagi rakyat dan negara. Kami berusaha memudahkan rakyat untuk membuat pilihan sama ada memilih PH atau BN.”

Beliau turut berkata bahawa pemimpin-pemimpin agung dalam sejarah peradaban dunia juga berjiwa besar dan tidak berdendam.

“Itulah akhlak mulia Nabi (Muhammad) SAW. Demikian pula negarawan kelas dunia seperti Nelson Mandela , Mahatma Gandhi dan Martin Luther King Jr yang membuktikan bahawa mereka berjaya membuang jauh sentimen kaum, warna kulit, peribadi dan dendam demi mengangkat kemulian insan di maya ini.”

(Visited 45 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com