Sultan Johor berpuas hati dengan pencapaian pembelajaran Islam bakal menantu

Sultan Johor berpuas hati dengan pencapaian pembelajaran Islam bakal menantu

 

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan dan berpuas hati dengan pencapaian pembelajaran agama Islam Dennis Muhammad Abdullah, bakal suami kepada puteri tunggal baginda Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah.

Perkara itu dinyatakan oleh bekas Setiausaha kerajaan negeri Datuk Ismail Karim kepada Royal Press Office – pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor.

Ismail berkata Dennis Muhammad diberi bimbingan serta pengajaran Islam oleh sekumpulan ustaz dari Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sejak awal Mac lalu.

Beliau bersama isterinya Datin Zawiah Mohamed dilantik sebagai keluarga angkat Dennis Muhammad pada awal Februari lalu selepas mendapat perkenan daripada Sultan dan Permaisuri Johor.

Dennis Muhammad yang berasal dari Belanda memeluk Islam pada 31 Mei 2015 dan bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tunku Aminah di Istana Bukit Serene pada 14 Ogos ini.

“Satu modul pembelajaran agama Islam yang intensif dan sistematik dirangka dengan dibimbing para ustaz dari JAIJ bagi memberikan pengajaran secara sempurna kepada Dennis Muhammad,” kata Ismail.

Ini termasuk pembelajaran Al-Quran, fardu ain selain pengajaran Bahasa Melayu, protokol dan istiadat Diraja Johor, penulisan Jawi serta penerangan mengenai struktur organisasi kerajaan negeri Johor.

Ismail berkata pada 5 Julai lalu, beliau telah mempersembahkan laporan pembelajaran Dennis Muhammad kepada Tuanku Sultan dan baginda berpuas hati dengannya.

“Dalam tempoh tiga bulan sahaja, Dennis Muhammad dapat mengikuti segala pembelajaran dengan baik dan cemerlang, termasuk berupaya menghafal 10 surah terakhir dari Al-Quran, Doa Qunut serta Ayat Kursi,” kata beliau.

Dennis Muhammad turut diberikan pengajaran fardu ain merangkumi tertib solat, Rukun Iman dan Rukun Islam, Puasa, Zakat dan Haji.

Selain tidak pernah lupa menunaikan Solat Jumaat, beliau juga tidak pernah ketinggalan menunaikan Solat Terawih sepanjang Bulan Ramadan.

(Visited 100 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66