Thaqif meninggal kesan kencing tikus

Siasatan menunjukkan pelajar sekolah tahfiz yang meninggal dunia pada hujung April lalu bukan disebabkan trauma atau keceraan.

Sebaliknya Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kencing tikus (leptospirosis) adalah punca kanak-kanak malang terbabit, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi.

“Ia dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya membabitkan kegagalan organ untuk berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Mohamad Thaqif, 11, menghembus nafas terakhir di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada 26 April lalu selepas beberapa hari dimasukkan ke situ.

Pada awalnya kanak-kanak terbabit terpaksa dipotong kerana keadaan kakinya yang tidak dapat diselamatkan.

Polis menahan reman seorang pembantu warden yang didakwa terbabit menghukum Mohamad Thaqif. Dia bagaimanapun dibebaskan pada 3 Mei lalu.

Selain dipotong kedua-dua kaki pihak hospital bercadang memotong tangan kanannya yang turut dijangkiti kuman. Namun kanak-kanak itu meninggal dunia sebelum pembedahan ketiga sempat dilakukan.

Polis kemudian menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kesalahan membunuh.

Pada 18 Mei lalu kubur Mohamad Thaqif digali semula untuk membolehkan pasukan penyiasat melakukan penelitian lebih lanjut bagi mengesan punca sebenar kematiannya.

Dr Noor Hisham berkata keputusan itu dibuat dengan merujuk laporan bedah siasat dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Katanya, pada hari Mohamad Thaqif meninggal dunia pasukan perubatan melakukan bedah siasat dan beberapa contoh tisu dan darah diambil.

Ia kemudian dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis oleh satu jawatankuasa khas membabitkan pakar perunding forensik.

Sementara itu, polis berkata kertas siasatan akan dikemas kini sesuai dengan keputusan yang dikeluarkan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya juga akan mendapatkan arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya.

(Visited 46 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.