GANT1 fail saman ke atas Najib, kerajaan dan 1MDB

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan Pemuda Pakatan Harapan hari ini memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain Najib, NGO Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) itu turut menamakan kerajaan Malaysia dan firma pelaburan negara, 1MDB sebagai defendan.

Menurut peguam yang mewakili NGO berkenaan, Haniff Khatri, saman itu diwakili oleh 10 orang plaintif adalah saman sivil yang bertujuan untuk memaksa kerajaan membuat pengisytiharan serta mendedahkan akaun yang digunakan bagi membayar International Petroleum Investment Co (IPIC).



Antara individu yang dinamakan sebagai plaintif ialah Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Faiz Fadzil, wakil ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mahathir Mohd Rais serta wakil DAPSY, Howard Lee.

“Ini adalah tindakan saman sivil. Dari segi undang-undang tindakan ini ialah tindakan berkumpulan di mana 10 orang yang dinamakan plaintif itu bukan sahaja mewakili nama yang tersenarai tetapi untuk rakyat Malaysia.

“Kita mahu pengisytiharan serta pendedahan akaun yang telah dibuat pembayaran (kepada IPIC),” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman itu difailkan susulan penyerahan surat tuntutan kepada Najib yang dibuat pada Mei lalu.

Dalam tuntutan berkenaan, GANT1 menggesa penjelasan mengenai 1MDB dan urusannya dengan IPIC.

Surat tuntutan sebelum ini turut menuntut penjelasan mengenai apakah undang-undang yang telah atau akan diambil terhadap IPIC bagi mendapatkan semula AS$3.5 bilion (RM15.5 bilion) yang dibayar 1MDB kepada Aabar Investments PJS Ltd.

(Visited 42 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.