Umno Batu Pahat perlu bersatu untuk menang kembali – @Zahid_Hamidi

Umno Batu Pahat perlu bersatu untuk menang kembali – Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan UMNO Bahagian Batu Pahat tentang “harga mahal yang dibayar” mereka ekoran berlakunya persengketaan dalaman yang mengakibatkan kerusi Parlimen tersebut tumbang ke tangan pembangkang.

Menurut Zahid, usaha memenangi semula kerusi parlimen tersebut hanya dapat dijelmakan setelah ahli bahagian tersebut bersatu.

“Batu Pahat dulu ada masalah, sekarang tiada masalah lagi. Sebab kalau mahu ambil laih semula kerusi-kerusi (yang) kalah di Batu Pahat, kita tak ada cara lain selain bersatu padu.

“Sebab harga persengketaan dibayar terlalu mahal…kita hanya kekurangan 1700 undi sahaja. Dan ahli parlimen yang menang, yang mewakili kita tidak pandang kita pun, tak ambil peduli pun hal disini. Kalau setakat mahu berkokok di parlimen tidak akan dapat menyelesaikan masalah.

“Tetapi yang penting ialah masalah di Batu Pahat, masalah di cawangan-cawangan masalah rakyat di Batu Pahat mesti diselesaikan oleh wakil Umno,” kata Zahid ketika berucap merasmikan Persida­ngan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat semalam.

Zahid turut melahirkan keyakinan Umno mampu merampas semula kerusi-kerusi yang tumpas dalam Parlimen Batu Pahat dibawah pimpinan Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Namun, Zahid turut memberikan bayangan bahawa calon yang bakal dipilih tidak semestinya individu yang memegang jawatan yang tinggi di peringkat bahagian dan meminta semua pihak untuk berlapang dada.

Beliau berkata ini kerana kajian menunjukkan faktor kemenangan sesuatu kerusi itu, 85 peratus daripadanya disumbangkan faktor calon manakala 15 peratus lagi disebabkan faktor lain.

“Calon mesti disukai walaupun bukan terdiri daripada kepe­mimpinan bahagian. Jadi, jika ada perwakilan bahagian disukai dan boleh menang, maka, jangan terkejut jika kita tidak pegang jawatan pun, kita akan dipilih,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid turut menggesa ahli UMNO untuk tidak terpedaya dengan analisis pembangkang yang mendapati UMNO dan BN akan terus memerintah sekiranya berlakunya pertembungan tiga penjuru di kawasan majoriti Melayu.

Zahid berkata dapatan itu didedahkan bertujuan untuk melekakan ahli dan jentera parti dari berusaha bersungguh-sungguh untuk kejayaan UMNO.

“Kita jangan terjebak dengan analisis kajian yang dilakukan sebab ada agenda tersembunyi supaya kita leka seolah-olah kita terus memerintah negara dan mereka berharap supaya tidak berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

(Visited 66 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66