Siasatan ‘permainan wang’ renyah, ambil masa – IGP

In this video

Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diberi masa untuk menyiasat kes permainan wang (Money game) seperti JJ Poor to Rich (JJPTR) kerana ia sangat renyah dan melibatkan banyak perkara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Kita perlu memeriksa timbunan dokumen, akaun. Jadi kita perlu diberi masa untuk meneliti struktur ‘money game’ bagi mengenalpasti kesalahan yang ada (dilakukan),” katanya dalam sidang media selepas majlis syarahan perdana dan menandatangani memorandum antara PDRM dan Universiti teknologi Malaysia (UTM) di UTM Kuala Lumpur hari ini.

Bagi memudahkan siasatan, katanya, PDRM bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan (KPDNKK).

Selain itu, satu lagi masalah adalah kebanyakan laporan yang dibuat terhadap JJPTR adalah daripada warga China di sana.

“Jadi kesalahan itu di negara China, ini satu lagi masalah yang kita hadapi…Tetapi kita sedang bekerja keras sekarang, agak ramai pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang (ditugaskan) melihat isu ini,” katanya.

Skim JJPTR yang melibatkan pelaburan perdagangan mata wang asing mendapat perhatian meluas selepas 400,000 termasuk 100,000 warga asing, disyaki ditipu dalam pelaburan berjumlah RM1.7 bilion.

Pada 12 Mei lalu, JSJK Bukit Aman dan polis Pulau Pinang bersama-sama beberapa badan antaranya BNM, pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu 8 lokasi di negeri itu yang dipercayai menjadi pejabat operasi JJPTR, serta menahan 19 individu terdiri daripada 15 pekerja dan 4 pelabur.

Khalid menasihatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati dengan mana-mana pihak yang menawarkan pelaburan dengan tawaran pulangan yang melampau.

“Jika ada tawaran pelaburan dengan pulangan melebihi 15 peratus setahun, kita perlu soal. Jika keuntungan 20 peratus sebulan pula, apa punya peniaga ini? Mesti ada yang tidak betul,” katanya.

Selain JJPTR, skim seumpamanya yang kini dalam siasatan adalah skim pelaburan Monspace yang menjanjikan keuntungan 500 peratus dalam masa 6 bulan, yang sudah disenaraikan BNM sebagai syarikat yang tidak dibenarkan memungut wang di Malaysia.

(Visited 75 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.