Tuan Ibrahim tak faham isu 1MDB, kata MT UMNO

Tuan Ibrahim tak faham isu 1MDB, kata MT UMNO

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta pimpinan pembangkang lain yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat 1MDB tidak memahami isu sebenar.

Menurut Mohd Puad, kerajaan telah berjaya mengurangkan hutang syarikat tersebut secara drastic melalui Pelan Rasionalisasi 1MDB dan siasatan Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuktikan bahawa tiada wang 1MDB yang lesap, dicuri atau diselewengkan seperti yang didakwa.

“Saya yakin Tuan Ibrahim tidak pernah membaca Laporan PAC setebal 106 mukasurat apabila beliau mempersoalkan tentang status rahsia rasmi Laporan Audit berkaitan 1MDB. Jika beliau pernah membacanya beliau akan menyedari walaupun Laporan Audit berkaitan 1MDB ini diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi oleh Ketua Audit Negara sendiri pada bulan Januari 2016, namun dapatan semakan dan kesimpulan oleh JAN ada dimasukkan ke dalam Laporan PAC sebagai rujukan.

“Sekiranya beliau rajin, beliau juga boleh membaca hansard prosiding PAC melibatkan pelbagai pihak termasuk Juruaudit Deloitte, KPMG, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB untuk melihat sendiri samada prosiding dilaksanakan secara telus atau tidak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menafikan dakwaan Tuan Ibrahim bahawa pihak berkuasa tempatan gagal untuk membuat siasatan terhadap 1MDB yang membuka ruang kepada Ameriksa Syarikat untuk berbuat demikian.




“…sebaliknya ruang untuk pihak berkuasa asing ini dibuka oleh individu-individu yang membuat laporan dengan tujuan untuk memancing campur tangan pihak asing ini ke dalam konflik politik di dalam negara. Dan ini disokong sendiri oleh Presiden PAS Tuan Hj Abdul Hadi Awang.”

Malah, Mohd Puad berkata Peguam Negara Tan Sri Appandi Ali tidak membuat pendakwaan ke atas 1MDB selepas menerima laporan siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan soal pemindahan dana ke luar negara kerana ianya mendapat kebenaran dari BNM sendiri.

“Kedangkalan Tuan Ibrahim juga teserlah apabila mempersoalkan kenapa siasatan domestik lebih lambat daripada siasatan di luar negara. Apa yang tidak difahami oleh Tuan Ibrahim adalah siasatan pihak berkuasa tempatan adalah bagi mendapatkan bukti kesalahan melangkaui keraguan munasabah.

“Sekiranya terdapat bukti prima facie barulah pendakwaan prosiding jenayah dapat dibuat. Sedangkan pihak berkuasa Amerika Syarikat seperti Jabatan Kehakiman (DoJ) AS tidak membuat pendakwaan jenayah menggunakan bukti prima facie, sebaliknya hanya memfailkan tuntutan sivil yang bersandarkan aduan awam dan “syak wasangka” berdasarkan “kemungkinan terdapat bukti yang lebih banyak” bahawa sesetengah harta yang ingin dirampas mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah.

“Sudah tentu siasatan bagi mencari bukti melangkaui keraguan munasabah akan mengambil masa yang lebih lama berbanding membuat saman sivil yang hanya berdasarkan syak wasangka dan andaian semata-mata.”

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat tersebut berkata saman sivil pengambil alihan aset atau pelucutan sivil merupakan undang-undang yang dikecam oleh rakyat AS sendiri dan berkata adalah tidak wajar bagi Malaysia menubuhkan RCI hanya kerana ada pihak asing yang memfailkan saman sivil.

“Lebih-lebih lagi jika ia baru di peringkat fail dan belum dibicarakan di mahkamah. Memetik kenyataan DoJ sendiri, “aduan melucut hak sivil hanyalah sekadar dakwaan yang menyebut bahawa terdapat wang atau harta yang terlibat atau merupakan hasil dari perlakuan jenayah. Dakwaan-dakwaan ini belum terbukti benar sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat.”

“Tidak ada sebarang sebab untuk menubuhkan RCI semata-mata kerana saman sivil yang belum membuktikan apa-apa lagi.

Tambahnya lagi, bersandarkan dokumen saman sivil terbaru yang difailkan oleh DoJ ke atas Kumpulan Hotel Viceroy, dana yang didakwa diselewengkan secara perundangannya tidak dipunyai atau dikawal selia oleh 1MDB.

“…tetapi adalah dana yang dimiliki atau dikawal selia oleh pihak-pihak yang mempunyai perkaitan dan kepentingan dengan syarikat Aabar dan IPIC milik Abu Dhabi.”

(Visited 51 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.