NGO bidas keputusan longgarkan syarat lantikan pegawai perubatan kontrak

NGO bidas keputusan longgarkan syarat lantikan pegawai perubatan kontrak

Pertubuhan Warisan Melayu Johor hari ini membantah keputusan Kementerian Kesihatan yang melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Presiden NGO tersebut, Datuk Abd Rahman Yunus berkata keputusan tersebut seolah-olah mencabul kedaulatan bahasa kebangsaan.

Menurutnya, kedudukan Bahasa Melayu sudah termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32 Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Tindakan yang mendapat persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengetepikan syarat kelulusan bahasa Melayu dalam SPM semata-mata memberi kelonggaran kepada lantikan jawatan Pegawai Perubatan secara kontrak adalah tidak wajar sama sekali.

“Langkah ini menunjukkan betapa mereka tidak peka soal Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi Persekutuan selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67,” katanya dalam satu sidang akhbar disini hari ini.

Jelasnya, tindakan melonggarkan syarat kelayakan seperti ini akan memberi ruang kepada jabatan lain untuk turut meminta perkara sama kepada JPA pada masa depan.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana doktor yang dilantik kelak ini akan berkomunikasi dengan pesakit ketika bertugas jika gagal menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Abd Rahman berkata tindakan ini seolah-olah mahu menggantikan tempat Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia.

“Ini ada percubaan halus untuk lupuskan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sama ada secara sengaja atau tidak sengaja,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa ahli politik dari kedua-dua belah pihak untuk memahami perlembagaan dan tidak bertindak sewenang-wenangnya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, graduan perubatan yang berkelayakan diberi kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu bagi SPM untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan Gred UD41.

Menurut Noor Hisham, JPA juga telah memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat itu pada 23 Februari lalu.

Beliau berkata calon yang memohon lantikan secara tetap sebagai pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan juga perlu lulus BM di peringkat SPM.

(Visited 61 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Social Media Auto Publish Powered By : XYZScripts.com