‘Bongkar siapa di belakang syarikat teksi’

Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa terdapat dalang di sebalik pemberian permit teksi yang didakwa menindas pemandu pengangkutan awam itu.

Bercakap di hadapan kira-kira 200 pemandu teksi, naib presiden PKR itu berjanji membongkar perkara itu demi “membela nasib” keseluruhan kira-kira 80,000 pemandu teksi.

“Insya-Allah dalam beberapa bulan ini kita akan tunjukkan satu persatu wajah-wajah yang berada di belakang syarikat permit teksi ini, yang mengambil keuntungan dari penderitaan pemandu teksi,” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Himpunan Warga Teksi Malaysia di Dewan Sivik Petaling Jaya, mewakili Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam ucapan itu, Rafizi menegaskan “musuh utama” mereka adalah golongan berkepentingan yang rapat dengan menteri dan ahli politik tertentu.

“Ini musuh utama kita. Kita kena tunjukkan dari puluhan tahun sebelum ini mereka mendapat kelebihan berapa puluh juta (ringgit) dia dah kutip dari keringat pemandu teksi,” katanya.

Sementara itu, melihat masalah pemandu teksi secara umum, Rafizi mencadangkan sebuah kesatuan ditubuhkan bagi membela nasib mereka.

“Kalau tidak berhati-hati dan kalau rakyat biasa tidak bersama-sama membela nasib sendiri, maka mana-mana parti yang datang selepas ini dan berkuasa mereka akan tindas kita.

“Jadi, jangan kongres hari ini terhenti setakat ini sahaja,” katanya.

Rafizi juga berjanji akan membangkitkan nasib pemandu teksi dengan membawa usul ke sidang Dewan Rakyat Julai ini.

“Minggu ini adalah minggu terakhir untuk kami hantar soalan dan usul kepada kerajaan.

“Salah satu usul yang akan saya bawa nanti adalah usul supaya kerajaan menangguhkan sebarang niat untuk membentangkan akta melesenkan Uber dan Grabcar sehinggalah tiga persoalan mengenai nasib pemandu teksi dan kedudukan kebajikan pemandu teksi diselesaikan terlebih dahulu.

“Selesaikan dulu masalah pemandu teksi dan barulah nak bentang akta terbabit, saya akan bentangkan dia nak terima tak nak terima itu belakang kira,” tegas Rafizi.

Mac lalu, sekumpulan pemandu teksi mengadakan bantahan terhadap GrabCar dan Uber di luar Parlimen yang telah didakwa menyekat rezeki mereka. Mereka turut menyerahkan memorandum mereka kepada anggota parlimen pembangkang.

Kongres Himpunan Warga Teksi Malaysia turut menuntut dana koperasi untuk pembiayaan kenderaan dan menolak Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang baru.

(Visited 99 times, 1 visits today)
Ad banner

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66