Armada Johor Tak Tolak Kemungkinan EXCO Pusatnya ‘DIBELI’

Armada Johor tak tolak kemungkinan EXCO pusatnya ‘dibeli’

Nuh Ikhwan

Armada Johor tidak menolak kemungkinan dua EXCO pusat iaitu Muhammad Hafiz Azhar dan Mohamad Taufik Abas, yang mempersoalkan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) telah ‘dibeli’ pihak luar.

Ketua Armada Johor, Norul Haszarul Abu Samah berkata ini kerana isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua kepimpinan Armada pusat ini pernah dimainkan oleh pihak Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Jadi saya tak menuduh tetapi beberapa kemungkinan mungkin berlaku…mungkin disogok, mungkin ditekan,” Norul Haszarul berkata dalam satu sidang media di Pejabat Pribumi Johor di Kempas semalam.

Beliau turut menggesa supaya kedua-dua EXCO tersebut dilucutkan dari jawatan mereka kerana kedua-dua mereka telah melanggar sumpah taat setia kepada parti untuk tidak mendedahkan apa-apa jua rahsia parti.

“Armada Johor mengutuk serta memandang serius tindakan yang diambil oleh dua orang Exco Armada pusat baru-baru ini. Tindakan tersebut telah mengejutkan semua pihak, sekaligus memberi impak negatif kepada parti secara keseluruhannya.

“Berita tersebut telah mendapat liputan di TV3, dimana kita maklum akan integriti TV3 yang pernah disaman beberapa kali kerana telah memfitnah pimpinan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan” katanya.

Beliau berkata isu yang dibangkitkan kedua-dua mereka boleh dirumuskan sebagai satu drama yang sengaja diada-adakan.

“Umum juga mengetahui bahawa isu sengaja dimainkan oleh parti pemerintah semata-mata untuk membunuh karektor pemimpin Pribumi.

“Namun, apabila pucuk pimpinan parti dengan berani mencabar mereka yang melemparkan tuduhan tersebut untuk berdebat secara terbuka, mereka hanya menikus diam seribu bahasa.”

Beliau turut mempersoalkan mengapa kedua-dua mereka tidak pernah mengutarakan isu ini dalam beberapa sesi dialog bersama pimpinan tertinggi parti.

Selain itu, Armada Johor turut menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi satu dialog diantara kedua-dua EXCO ini dengan pimpinan parti.

“Sekiranya masih ada sifat berani anak muda dalam diri mereka, Armada Johor jemput pada bila-bila masa tanpa sebarang syarat,” kata Norul Haszarul.

Minggu lalu, Muhammad Hafiz telah mengadakan satu sidang media bagi mempersoalkan kekayaan luar biasa anak-anak Pengerusi Pribumi, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan juga skandal Nika Ghee dengan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin bagaimanapun sebelum ini telahpun menafikan dakwaan tersebut.

Tindakan Muhammad Hafiz itu membuatkan Timbalan Presiden Pribumi Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau perlu dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti.

Kenyataan Mukhriz itu bagaimanapun dikritik Mohamad Taufik yang mengadakan sidang media berasingan dan mempersoalkan kegagalan Mukhriz bagi mempertahankan rakan sejawatnya itu.




(Visited 218 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66