Pertahankan Industri Perabot Muar – @AyubBinRahmat

PERTAHANKAN INDUSTRI PERABOT MUAR

Kerajaan negeri Johor sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan kuota eksport kayu getah, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Johor Datuk Ayub Rahmat.

Ia bagi memastikan bekalan untuk kegunaan tempatan sentiasa mencukupi.

“Pengeluaran permit yang terhad juga merupakan jalan yang terbaik bagi mengelakkan persaingan secara tidak sihat yang akan menjejaskan ekonomi ini sendiri,” Ayub berkata dalam satu kenyataan.

Ini berikutan kepesatan pengeksportan pokok-pokok getah ke luar negara terutamanya China yang telah menyebabkan bekalan kayu untuk industri perabot khususnya di Daerah Muar terjejas.

“Walaupun negara China menawarkan harga yang lebih tinggi, kita sebagai rakyat Johor khususnya dan Malaysia amnya sudah pasti akan mempertahankan industri perabot yang telah ada di negeri ini daripada hilang begitu sahaja,” kata Ayub.

Tambah beliau, jika perkara ini tidak diperhalusi, ia bukan sekadar akan membantutkan perkembangan industri perabot bahkan menyebabkan kepupusan tenaga mahir pembuat perabot.

Ayub berkata kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan membuat kajian terhadap kesan pengeksportan kayu getah kepada industri perabot di negeri ini dengan kadar segera bagi memastikan kayu-kayu getah yang ada mencukupi serta tidak menghancurkan industri ini.

Tambah beliau, Pusat Pameran Antarabangsa Perabot yang bakal dibina seperti yang diumumkan Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin dalam Bajet 2016 akan menjadi pelengkap kepada Hab Industri Perabot Muar yang akan dibangunkan serta membantu mempromosi industri perabot di Johor.

“Tapak pameran yang luas dan selesa dapat mengetengahkan produk perabot buatan tempatan sepanjang tahun. Pusat Pameran ini akan membantu mempamerkan, mempromosikan dan memasarkan produk-produk perabot kita ke pasaran antarabangsa.

“Ini dapat juga meningkatkan imej jenama dan produk perabot kita seterusnya Bandar Tangkak dan Muar ke peringkat antarabangsa.”

Selain dari meningkatkan daya saing industri perabot, pusat pameran juga membawa limpahan ekonomi kepada industri hiliran dan sokongan industri perabot di daerah tersebut.

(Visited 71 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest