Hishammuddin harus bertanggungjawab keatas kematian Zulfarhan – Salahuddin

Hishammuddin harus bertanggungjawab keatas kematian Zulfarhan – Salahuddin

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein digesa supaya bertanggungjawab keatas kematian pegawai kadet laut Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dipercayai akibat didera.

Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata Hishammuddin perlu bertanggungjawab kerana Zulfarhan merupakan mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dibawah kelolaan kementerian Hishammuddin.

“Menteri Pertahanan tidak sepatutnya menjadikan penuntut sebagai mangsa dalam ingin mencapai tahap maksima ke arah yang lebih baik sehingga wujudnya sifat gengsterisme di kalangan sesama pelajar sehingga mencetuskan kes penderaan yang membawa kepada kematian dan kes ini juga menyebabkan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia tercemar kerana rekod kes jenayah penderaan di dalam universiti awam,” kata Salahuddin menerusi satu kenyataan.

Salahuddin turut mempersoalkan kegagalan pihak universiti dalam menangani kes tersebut dimana Zulfarhan tidak menerima rawatan sewajarnya walaupun mengalami kecederaan serius selama 10 hari sebelum menghembuskan nafas terakhir Khamis lalu di Hospital Serdang.

“Terdapat kecuaian dalam pemantauan terhadap mangsa yang sewajarnya dapat dikesan melalui aktiviti ‘roll call’ tentera, sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali setiap hari.

“Pihak kami juga turut mempersoalkan tahap penjagaan keselamatan penuntut di universiti berkenaan yang sepertinya tidak endah dengan apa yang berlaku selama 10 hari ketika mangsa sedang dalam kesakitan tanpa ada sebarang aduan mengenai kehilangan penuntut atau tinjauan ke asrama tempat penuntut menginap,” tambah Salahuddin.

Menurut Salahuddin, mangsa mengalami 80 peratus kelecuran pada badannya ketika ditemui.

Amanah turut menawarkan nasihat guaman kepada keluarga mangsa bagi mengambil tindakan undang-undang.

“Amanah ingin menasihatkan bahawa undang-undang telahpun wujud sekian lama dan janganlah ada pihak yang cuba mereka-reka undang-undang sendiri yang boleh mengakibatkan berlakunya kes jenayah sekaligus telah menyebabkan masa depan pelaku-pelaku jenayah seperti 36 penuntut universiti ini menjadi gelap.

“Datuk Seri Hishamuddin Hussin tidak boleh lari dari isu penderaan melampau ini dan mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden yang memalukan ini.

“Saya menegaskan agar pihak universiti untuk tampil bertanggungjawab dalam hal yang membabitkan penuntut Zulfarhan Osman Zulkarnain ini dan janganlah mereka hanya berselidung di sebalik Menteri Pertahanan yang dilihat gagal mengawal keadaan atau tugas yang sepatutnya dilakukan beliau.”

Kematian Zulfarhan, 21, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis mereman 36 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

(Visited 326 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66