Pemandu Kereta Bunyikan Hon Di Hadapan Surau Buat Permohonan Maaf

Pemandu Kereta Bunyikan Hon Di Hadapan Surau Buat Permohonan Maaf

JOHOR BAHRU, 12 MEI – Pemandu kereta yang membunyikan hon di hadapan Surau Austin Perdana di sini, sehingga kejadian itu viral di laman sosial Jumaat lalu, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, semalam.
Toh Chai Eun, 28, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat Islam terutama mereka yang terbabit dalam kes berkenaan. Beliau hadir dalam satu perjumpaan di Pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang disertai ahli jawatankuasa surau terbabit, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut.
Permohonan maaf terbuka itu dibacakan wakil Chai Eun, Mahadzir Abu Said, yang menyatakan harapan agar kes berkenaan dapat diselesaikan dan tidak menyinggung semua pihak dan Bangsa Johor.
“Apa yang berlaku pada waktu itu kerana saya terperangkap dalam kesesakan jalan di situ dan dalam urusan penting. Ini menyebabkan kereta saya diserang dan dirosakkan dan saya juga mengalami kecederaan,” katanya yang mengalami kecederaan di leher, kaki dan badan.
“Saya tidak berniat jahat atau ingin menyinggung perasaan dengan membunyikan hon kereta pada masa itu dan harap selepas kenyataan ini, tiada lagi ulasan dan cerita mengenai kejadian ini di media untuk tujuan menghasut rakyat dan menjejaskan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Austin Perdana, Mohd Khaiidzir Ismail, berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dengan keseluruhannya.
Dalam insiden Jumaat lalu, seorang lelaki dipukul di hadapan Surau Austin Perdana oleh sekumpulan jemaah surau dalam keadaan marah, selain merosakkan sebuah kereta dipercayai berpunca daripada tindakan lelaki itu membunyikan hon ketika Solat Jumaat.

(Visited 33 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66