Guna Bahasa Rojak Bebankan Guru – @ Abdul Adzis Abas

Guna Bahasa Rojak Bebankan Guru – @ Abdul Adzis Abas

 

 

KUALA LUMPUR, 5 MEI – Penggunaan bahasa rojak yang berleluasa oleh stesen televisyen membebankan tugas guru untuk memperbetulkan tatabahasa serta pemahaman bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di sekolah.

 

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas, berkata penggunaan bahasa Melayu rojak yang menggabungkan bahasa Inggeris dan berbunyi pelik memberi kesan jangka panjang kepada pelajar.

 

Enggan menyatakan sama ada penggunaan bahasa Melayu rojak, salah atau sebaliknya dari segi komersial, namun beliau tidak bersetuju bahasa Melayu ‘dilayan’ sebegitu rupa.   Meskipun stesen televisyen dan penerbit berhak menggunakan bahasa Melayu rojak kerana ia antara cara untuk menarik orang ramai menonton drama atau filem mereka, beliau berkata, ia akan memberi kesan kepada pelajar jika tidak dikawal.

 

“Apabila tatabahasa dan pemahaman bahasa Melayu pelajar terkesan dengan penggunaan bahasa rojak, ia turut memberi impak buruk terhadap kemahiran penulisan pelajar serta jati diri mereka.

 

“Kita mahu bahasa Melayu tertib dan kesantunannya membentuk sahsiah serta pemikiran pelajar. Mereka seharusnya perlu memilih drama yang boleh membantu pelajaran bukan menyimpang daripada tatabahasa yang betul.

 

“Jadi, cabaran guru masa kini adalah untuk memperbetulkan kesalahan dan pemahaman bahasa. Guru perlu beri peranan kerana ia adalah skop tanggungjawab mereka,” katanya selepas majlis pelancaran Buku Sokongan Pendidikan Bahasa Melayu DBP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

 

 

Ia dilancarkan oleh Pengarah Institut Aminuddin Baki, Dr Zainal Aalam Hassan.   Semalam, Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, menegur stesen televisyen dan penerbit yang membenarkan penggunaan bahasa rojak pada judul cerita. Mengulas lanjut,

 

Abdul Adzis berkata, DBP sedang menjalankan program Ziarah Bahasa ke setiap stesen televisyen untuk mengadakan perbincangan selain memberi nasihat berkenaan penggunaan bahasa Melayu yang betul.   Pelancaran 21 buah buku sokongan pendidikan bahasa Melayu terbitan DBP sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 juga adalah satu usaha DBP memperkukuhkan penguasaan asas kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

 

 

(Visited 11 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest