Menyuburkan Budaya Tulisan Jawi

Menyuburkan Budaya Tulisan Jawi

 

SEGAMAT, 3 MEI – Walaupun tulisan jawi tidak lagi digunakan secara meluas, namun itu tidaklah bermakna bahawa tulisan yang sinonim dengan masyarakat Melayu  itu sudah dipinggirkan.

 

Buktinya dapat dilihat dengan jelas menerusi penyertaan menggalakkan orang ramai setiap kali penganjuran program Semarak Jawi oleh Johor Corporation (JCorp) yang menjelajah ke seluruh pelusuk negeri ini.

 

Pengarah Eksekutif Kulim (Malaysia) Berhad, Zulkifly Zakariah berkata, Jelajah Semarak Jawi merupakan inisiatif JCorp untuk menyemarak dan menyuburkan budaya menggunakan tulisan jawi dalam kalangan rakyat di semua peringkat di negeri ini.

 

“Pendekatan yang kami lakukan ini merupakan salah satu usaha secara kreatif dan segar bertujuan menggalakkan masyarakat terutamanya generasi muda memahami serta menghayati tulisan jadi agar tulisan jawi tidak dipinggirkan dan dilupakan.

“Program Jelajah Semarak Jawi ini merangkumi pertandingan penulisan esei dalam tulisan jawi, kuiz jawi dan pertandingan khat jawi bertujuan membudayakan pengunaan tulisan jawi dalam kalangan pelajar secara menyeluruh,” katanya pada program Jalinan Ukhwah, Semarak Jawi, Catur dan Cilik Bestari JCorp di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bentara Dalam, dekat sini baru-baru ini.

 

Beliau berkata, program tersebut merupakan kali kedua diadakan pada tahun ini melibatkan 17 sekolah menengah dan rendah di daerah Segamat dengan penyertaan seramai 247 pelajar.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Dayuk Ayub Rahmat berkata, usaha JCorp memartabatkan tulisan jawi yang sinonim dengan al-Quran merupakan satu langkah murni sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri yang mahu generasi muda menguasai bacaan, memahami dan mengamalkan kandungan kitab suci itu.

 

Beliau berkata, tulisan jawi semakin kurang digunakan dipercayai bermula pada tahun 1950-an kesan daripada penjajahan di kawasan Nusantara.

 

“Saya berharap usaha murni yang dilakukan oleh JCorp ini bukan sahaja mampu melahirkan golongan celik jawi, malah menjadi contoh kepada badan korporat lain untuk turut sama menyumbang mengembalikan zaman kegemilangam tulisan jawi,” katanya.

(Visited 74 times, 2 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66