Kompaun Dan Sabitan Mahkamah Tiada Kaitan Dengan Mata Demerit

Kompaun Dan Sabitan Mahkamah Tiada Kaitan Dengan Mata Demerit

 

PUTRAJAYA, 21 APRIL – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menjelaskan bahawa pelaksanaan mata demerit tidak ada kaitan dengan kompaun atau sabitan oleh mahkamah bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

 

JPJ mula melaksanakan sistem mata demerit pada 15 April lalu terhadap pemandu yang melakukan dua jenis kesalahan jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.
 

Sehubungan itu, JPJ, dalam satu kenyataan semalam, menafikan dakwaan segelintir masyarakat bahawa wujud isu ‘double jeopardy’ atau ‘hukuman dua kali’ berikutan pelaksanaan sistem mata demerit.

 

“Ketua Pengarah JPJ (Datuk Nadzri Siron) mempunyai kuasa menggunakan budi bicaranya untuk menggantung atau membatalkan lesen berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta Pengangkutan Jalan, dalam menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu.

 

“Di bawah Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta 333 ini juga ditetapkan cara untuk Ketua Pengarah menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu iaitu melalui pemberian mata demerit.

 

“Ini kerana kuasa Ketua Pengarah untuk menggantung atau membatalkan lesen hanya diguna berdasarkan mata demerit yang terkumpul dan bukannya terus ditetapkan berdasarkan sesuatu kesalahan yang dilakukan,” katanya.

 

JPJ menjelaskan bahawa bagi sistem mata demerit, isu ‘double jeorpardy’ tidak berbangkit sama sekali dan tiada kaitan dengan kuasa Ketua Pengarah dalam menggantung atau membatalkan lesen di bawah seksyen 35 dan 35A Akta 333.

(Visited 48 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Notice: Undefined variable: adsense_slot_ads_top_page in /home/johortimes/public_html/wp-content/themes/videopro/footer.php on line 66