Bangkai Dugong Dijumpai Terdampar – @ayubbinrahmat

Bangkai Dugong Dijumpai Terdampar – @ayubbinrahmat

 

JOHOR BAHRU, 21 APRIL – Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor telah menerima aduan dari penduduk kampung pada hari Khamis, 20 April, berkenaan penemuan seekor dugong yang mati di perairan Pantai Kampung Tanjung Balang, Pulau Tinggi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan Dan Penerangan negeri, Datuk Haji Ayub Bin Rahmat berkata, bangkai dugong tersebut telah diambil dan seterusnya di hantar ke Pangkalan Hadapan Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor di Mersing.

 

“Mengikut prosedur yang digariskan oleh Jabatan Perikanan sekiranya kedamparan mamalia marin dijumpai, tindakan oleh mana-mana orang awam atau rakyat Malaysia yang perlu diambil sekiranya anda menemui spesies marin terancam sama ada masih hidup atau telah mati, sila hubungi mana-mana Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri atau Institut Penyelidikan Perikanan yang berdekatan atau FRI Rantau Abang dengan segera.

 

“Bangkai dugong ini diserahkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Johor untuk dijalankan siasatan. Siasatan terperinci akan dijalankan oleh Pegawai Veterinar Jabatan Perikanan Negeri Johor bersama-sama Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (FRI). Seterusnya bangkai ini akan dibawa ke makmal FRI untuk dilakukan ‘post moterm’ terperinci. Laporan terperinci akan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dan FRI setelah siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media.

 

Jawatankuasa Tindakan Kedamparan Mamalia Marin telah ditubuhkan bagi mengambil tindakan segera bagi menangani masalah kedamparan mamalia marin termasuk Dugong. Jawatankuasa ini yang diterajui oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan dianggotai oleh Jabatan Taman Laut Malaysia, Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (FRI), Perbadanan Taman Negara Johor,agensi-agensi, Universiti dan NGO sepert Marecet dan sebagainya.

 

Jawatankuasa ini berfungsi menetapkan prosuder berkaitan masalah kedamparan mamalia marin di perairan Malaysia.

 

Negeri Johor amat menitikberatkan kesedaran awam berkenaan kepentingan memelihara spesis yang semakin pupus ini yang hanya boleh dilihat di perairan negeri Johor bagi semenanjung Malaysia.

 

Kes kematian dugong seperti ini dilihat sebagai satu kerugian kepada rakyat seluruhnya dan satu tindakan pemeliharaan secara serius sedang dijalankan oleh pihak negeri bersama JTLM, PTNJ, FRI, Jabatan Perikanan dan NGO bagi mewartakan santuari dugong di perairan laut negeri Johor.

 

“Pewartaan santuari dugong ini akan membolehkan kawasan pemakanan dan habitat bagi spesis dugong dapat di Negeri ini dilindungi dan dipulihara,” tambahnya lagi.

 

Mamalia Dugong merupakan spesis terancam yang digazetkan di bawah Akta Perikanan 1985 sebagai mamalia akuatik.  Di bawah Akta Perikanan 1985, “ikan” ditafsirkan sebagai apa-apa hidupan atau haiwan akuatik, sama ada sedentari, atau tidak, dan termasuklah semua spesies ikan bersirip, krustasia, moluska, mamalia akuatik,  atau telur-telur, atau benihnya, atau anak ikan, atau fingerling, lokan, atau benih moluska, tetapi tidak termasuk mana-mana spesies memerang, penyu atau telur-telurnya.

 

 

(Visited 25 times, 1 visits today)
Ad banner

About The Author

You might be interested in

Ad banner

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pin It on Pinterest