TIGA KLUSTER BAHARU MASIH AKTIF, SUMBANG KES DI JOHOR

TIGA KLUSTER BAHARU MASIH AKTIF, SUMBANG KES DI JOHOR

JOHOR BAHRU 301020 – Kluster Bayu, Kempas dan Rinting menjadi penyumbang utama 60 kes COVID-19 di negeri ini hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, bagi Kluster Bayu yang merupakan kluster paling baharu, kumulatif kes melibatkan lapan kes iaitu tiga rakan sekerja dan lima ahli keluarga mereka.

“Susulan pengesanan kontak yang dijalankan telah mengenal pasti seramai 104 kontak di Johor. Daripada jumlah ini, 60 adalah negatif manakala 44 masih lagi menunggu keputusan.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan. Sehingga kini penularan masih lagi terkawal dan tertumpu kepada penularan dalam keluarga dan tempat kerja. Kluster ini dijangka tamat pada 23 November 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ni.

Beliau berkata, kumulatif kes Kluster Kempas sehingga semalam mencatatkan 42 kes iaitu lapan rakan sekerja, 17 ahli keluarga mereka, 11 rakan sekerja ahli keluarga mereka dan lima pelajar serta seorang ahli keluarganya.

Susulan pengesanan kontak yang dijalankan katanya, mengenal pasti seramai 477 kontak di Johor melibatkan Johor Bahru, Kulai dan Pontian manakala selebihnya di Selangor dan Melaka.

Daripada jumlah itu katanya, 400 adalah negatif manakala 35 masih lagi menunggu keputusan, punca jangkitan dikaitkan dengan kes pertama yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mukim Hulu Langat, Selangor (Zon Merah) bagi menghadiri satu upacara perkahwinan.

Jelasnya, sehingga kini penularan masih lagi terkawal dan tertumpu kepada penularan dalam keluarga dan tempat kerja, kluster itu dijangka tamat pada 24 November ini.

Kluster Rinting pula katanya, 10 kumulatif kes dikesan yang melibatkan dua pekerja, enam ahli keluarga dan dua kawan kepada anak mereka.

“Susulan pengesanan kontak yang dijalankan telah mengenal pasti 263 kontak di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Terengganu dan Pahang. Kesemuanya adalah negatif. Punca jangkitan dikaitkan degan kes indeks menghadiri kursus di Lukut,” ujarnya.

Menurutnya, sehingga kini penularan kluster tersebut masih lagi terkawal dan tertumpu kepada penyebaran dalam keluarga, kluster berkenaan dijangka tamat pada 8 November ini.

Beliau memberitahu, sehingga semalam Johor melaporkan sebanyak 10 kes baharu dengan sembilan kes daripada kluster sedia ada dan satu kes hasil daripada saringan COVID-19 yang dilakukan.

“Ini menjadikan kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sebanyak 897 kes dengan 21 kematian. Sebanyak 811 kes telah pulih iaitu 90.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, 65 kes aktif diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” katanya. – JT

(Visited 20 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: