TIADA PKPB DI JOHOR BAHRU

TIADA PKPB DI JOHOR BAHRU

JOHOR BAHRU 301020 – Kerajaan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah ini walaupun sudah diklasifikasikan sebagai Zon Merah sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, ini kerana situasi semasa di Johor Bahru masih lagi terkawal dan masyarakat tidak perlu bimbang atau panik.

“Tidak dilaksanakan PKPB kerana kebanyakan kes yang dilaporkan daripada kluster-kluster sedia ada hanya tertumpu kepada penularan di dalam keluarga dan tempat kerja ahli keluarga mereka.

“Institusi tempat kerja yang terlibat telah diletakkan dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hingga semalam, empat kluster yang masih aktif dilaporkan di negeri ini melibatkan Kluster Meldrum dengan enam kes, Kluster Bayu (lapan kes), Kluster Kempas (42 kes) dan Kluster Rinting (10 kes).

Menurut Vidyananthan, ini menjadikan kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sebanyak 906 kes dengan 21 kematian.

Sebanyak 814 kes telah pulih, iaitu 89.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dengan 70 kes COVID-19 yang aktif dan telah diasingkan serta diberi rawatan di hospital, katanya.

“Kes indeks bagi Kluster Meldrum merupakan seorang lelaki berumur 71 tahun yang dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober 2020. Susulan itu, pengesanan kontak dan ujian COVID-19 telah dijalankan.

“Kita mendapati tiga ahli keluarganya dan dua kontak rapat kepada ahli keluarga didapati positif pada 28 Oktober 2020. Hingga 30 Oktober 2020, seramai 219 kontak dikenal pasti di mana 138 adalah negatif dan 75 masih lagi menunggu keputusan,” katanya.

Kluster baharu itu melibatkan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Tangkak, punca jangkitan masih dalam siasatan.

Pihaknya menjangkakan peningkatan kes dalam masa terdekat ini akan terus berlaku dengan aktiviti survelans yang terus dipertingkat selain menasihatkan masyarakat tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor menyeru rakyat Johor agar sentiasa mematuhi dan mengamalkan norma-norma baharu yang diperkenalkan iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan diri,” katanya. – JT

(Visited 55 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: