SURI RUMAH DIDAKWA TIPU PENGINAPAN HOTEL MEWAH

SURI RUMAH DIDAKWA TIPU PENGINAPAN HOTEL MEWAH

AMPANG 301020 – Seorang suri rumah yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mendalangi pelbagai kes penipuan pakej penginapan hotel mewah kepada 20 mangsa, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Intan Nurul Haleda Mohd Yunus, 26, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Intan Nurul Haleda bersama seorang lagi yang belum dituduh didakwa atas empat tuduhan menipu penjual insuran, Azmadi Anwar Ahmad, 37; jurutera, Siti Nur Farahain Zainol, 30; pegawai perhubungan awam, Mohd Syamil Yusoff, 51 dan pegawai akaun, Nur Azneen Hanis Apili, 27, dengan memperdayakan mangsa memasukkan wang keseluruhannya berjumlah RM2,676 ke dalam akaun Maybank Syarikat I&I Paradise Venture, dengan menawarkan pakej pelancongan yang tidak wujud.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Medan Selera Taman Bukit Indah, Jalan Medan Bukit Indah 2, Taman Bukit Indah Ampang, antara 20 April dan 15 Ogos 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Intan Nurul Haleda turut dituduh atas empat lagi tuduhan menawarkan kepada kesemua mangsa sama tanpa lesen sah mengikut Seksyen (1) Akta Industri Pelancongan 1992, di tempat sama antara 15 Ogos dan 15 Julai 2020.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 5(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kesemua lapan pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Mohd Fikah Sanusi memohon dibenarkan jaminan rendah dengan alasan suaminya kini sedang di reman di Penjara Sungai Buloh selain tidak bekerja.

“Tertuduh juga sedang hamil empat bulan dan tidak mempunyai risiko melarikan diri,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,400 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes. – BH

(Visited 18 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: