PENDAPATAN ORANG ASLI TERTEJAS SEJAK PKP

PENDAPATAN ORANG ASLI TERTEJAS SEJAK PKP

PASIR GUDANG – Persatuan Nelayan Orang Asli Kuala Masai berdepan masalah lambakan ikan dan hasil laut yang tidak terjual di Pasar Bayu, Tebrau di sini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Pengerusinya, Kelah Lah, 40, berkata, keadaan tersebut menjejaskan sumber pendapatan sampingan 77 nelayan Kampung Orang Asli Kuala Masai.

“Kita harap akan ada pemborong masuk ke kampung kami dan membeli ikan dan hasil laut secara terus dengan kami tanpa ada orang tengah. Ketika ini apabila kami menghantar ikan dan hasil laut ke Pasar Bayu, mereka tidak lagi menerimanya.

“Ini kerana orang ramai tidak keluar ke rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selain pelanggan tidak mempunyai wang untuk membeli ikan, sotong dan ketam yang dijual,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.

Sebelum ini nelayan kampung berkenaan memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan dengan menjual ikan dan hasil laut, namun selepas PKPB hanya mendapat antara RM700 hingga RM800 sebulan.

Kelah yang juga Pengerusi Kampung Orang Asli Kuala Masai berkata, semua penduduk sebelum ini adalah nelayan sepenuh masa, namun disebabkan pembangunan, ikan dan hasil laut semakin berkurangan dan mereka kini menternak kupang sepenuh masa.

Walau bagaimanapun, penternakan kupang mereka turut menerima kesan akibat projek pembangunan berdekatan sehingga menjadikan kawasan perairan keruh dan kotor.

“Ini termasuk terdapat bahan kimia yang menjejaskan penternakan kupang. Selepas menambak laut untuk projek pembangunan, mereka membuat satu benteng. Akibatnya kita hanya dapat menuai kira-kira 40 peratus hasil kupang, manakala 60 peratus lagi rugi.

“Jika tidak ada benteng lagi teruk, penternakan kupang akan mengalami kerugian sehingga 90 peratus. Kira-kira 70 peratus penternakan kupang di sini dimiliki Orang Asli kampung ini,” katanya.

Selebihnya dimiliki Petronas, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), namun diusahakan oleh penduduk Orang Asli tempatan.

Beliau bimbang sekiranya kawasan ternakan kupang terus dicemari oleh air kotor dan mengandungi kimia, ternakan kupang tidak akan menjadi malah terbantut, sekali gus tidak dapat dijual. – JT

(Visited 14 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: