MASZLEE TINGGALKAN PEJUANG

MASZLEE TINGGALKAN PEJUANG

Simpang Renggam 021120 – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik hari ini mengesahkan menarik diri daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Perkara tersebut dinyatakan oleh bekas Menteri Pendidikan itu dalam satu kenyataan.

Antara alasan yang diberikan ialah mahu menumpukan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik COVID-19 atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Saya juga akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi kerja kemanusiaan.

“Saya percaya perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan, ” katanya dalam satu kenyataan dalam akaun Twitter miliknya, sebentar tadi.

Pada 7 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan Pejuang yang berasaskan kepada perjuangan Melayu.

Selain Maszlee, Pejuang turut diasaskan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian BERSATU Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.

Dalam kenyataan enam perenggan itu, Maszlee menjelaskan, keputusannya meninggalkan Pejuang berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak majoriti rakyat.

“Saya yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.

“Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah dihadapi mereka kini, ” katanya. – JT

(Visited 16 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: