JOHOR JANGKA DCA DILAKSANA DALAM MASA TERDEKAT

JOHOR JANGKA DCA DILAKSANA DALAM MASA TERDEKAT

JOHOR BAHRU 201120 – Johor menjangkakan skim ketiga pembukaan sempadan Johor-Singapura iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA), dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata ia berikutan negeri itu sudah mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) khas DCA kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, beliau juga sudah mendapatkan penjelasan mengenai SOP khas bagi pelaksanaan DCA itu menerusi Sidang Video Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Beliau berkata, Johor sudah bersedia melaksanakan skim ketiga berkenaan berdasarkan beberapa indikator yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk SOP, tenaga kerja serta infrastruktur diperlukan.

“Johor mencadangkan skim ketiga DCA ini selepas melihat peningkatan kemasukan menerusi dua skim terdahulu iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Kita mencadangkan supaya skim DCA ini dimulakan dengan sektor pendidikan terutama pelajar, ibu bapa dan guru yang sama ada belajar di kolej dan institusi swasta di Johor atau republik itu.

“Berdasarkan maklum balas Perdana Menteri semalam, MKN akan membincangkan SOP khas yang dikemukakan Johor bagi pelaksanaan DCA ini sebelum memaklumkan Kementerian Luar untuk tindakan seterusnya.

“Kita akan berhubung dengan Kementerian Luar supaya SOP khas berkenaan dapat dimuktamadkan segera dan DCA dapat dimulakan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Digital Johor, hari ini.
Awal bulan ini, Hasni mencadangkan skim ketiga pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura menerusi insiatif DCA kepada kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, antara SOP khas DCA yang dicadangkan adalah kebenaran kepada 7,000 individu dalam tempoh setiap 10 hari.

Katanya, DCA akan mewujudkan gelembung perjalanan (travel bubble) yang kebenarannya akan dibuat pada setiap 10 hari selepas permohonan diterima.

“Johor mempunyai kapasiti untuk membuat ujian saringan sehingga 30,000 sehari berdasarkan infrastruktur termasuk makmal yang diiktiraf KKM,” katanya. – BH

(Visited 17 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: