HENTI OPERASI JIKA LANGGAR SYARAT -AYUB

HENTI OPERASI JIKA LANGGAR SYARAT -AYUB

JOHOR BAHRU 101120 – Kerajaan negeri membenarkan pasar tani, pasar malam, pasar pagi di seluruh negeri beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam hingga 6 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, sekiranya peniaga tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu yang ditetapkan, perintah menghentikan operasi boleh dibuat.

Menurutnya, kebenaran itu juga diberikan terhadap semua pasar dan Bazar JB walaupun daerah ini diisytiharkan sebagai Zon Merah sebelum ini.

“Namun, sekiranya berlaku penularan COVID-19, semua pasar berkenaan di Johor Bahru akan dihentikan operasinya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya Johor B, Taman Scientex Pulai Mutiara secara dalam talian di Auditorium RTM Johor, di sini hari ini.

Pihaknya tidak mahu sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan henti operasi terhadap pasar berkenaan kerana menyedari kepentingannya dalam situasi ekonomi mencabar ketika ini.

“Dengan kebenaran ini, para peniaga dapat meneruskan perniagaan dan beroleh pendapatan, selain masyarakat berupaya mendapatkan keperluan harian mereka dengan mudah.

“Jika semua pihak mematuhi SOP, iaitu memakai pelitup muka, menjaga jarak serta kerap membasuh tangan, insya-Allah operasi boleh diteruskan mengikut waktu yang ditetapkan,” katanya.

Ketika ini pasar awam di negeri ini masih dibenarkan beroperasi walaupun dalam tempoh penguatkuasaan PKPB.

Walau bagaimanapun, perkara itu tertakluk terhadap pematuhan SOP dan beliau meminta peniaga dan pengunjung untuk mematuhi undang-undang ditetapkan dalam usaha mengekang pandemik tersebut. – JT

(Visited 33 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: