@Hasni_Johor SARAN PERTUBUHAN BELIA KUMPUL DATA LENGKAP

@Hasni_Johor SARAN PERTUBUHAN BELIA KUMPUL DATA LENGKAP

JOHOR BAHRU, 021120 – Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad menyarankan supaya pertubuhan belia mengumpul data yang lengkap bagi membolehkan kerajaan merancang pembangunan komprehensif mengikut keperluan golongan berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini data yang ada tidak mencukupi bagi membolehkan kerajaan merancang program-program khusus yang sesuai dengan keperluan semasa golongan belia.

“Ini adalah satu suasana dan keadaan yang memerlukan kerajaan memikirkan satu intervensi yang menyeluruh. Sebab itu, saya merasakan bahawa usaha atau pandangan daripada pelbagai pihak itu amatlah penting.

“Apa yang perlu kita beri tumpuan adalah membangunkan data orang muda ini. Saya yakin dan percaya bahawa di pihak belia itu sendiri haruslah tampil untuk menyatakan dengan lebih jelas tentang perkara-perkara yang tepat pada sasarannya.

“Jadi, dengan itu saya menganjurkan supaya setiap pertubuhan dan persatuan, khususnya yang terdapat ahli-ahli dalam kalangan belia sentiasa menitikberatkan untuk membangunkan data dan dapat dikongsikan dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Penyerahan Insentif Persatuan Tinju Negeri Johor di Hotel Amari, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Dato’ Haji Noorazam Dato’ Haji Osman; Pengarah Majlis Sukan Megeri Johor, Mohd. Gadaffie Abd. Aziz dan Presiden Persatuan Tinju Negeri Johor, Muhammad Farkhan Haron.

Dalam pada itu, YAB Menteri Besar menggalakkan masyarakat, khususnya golongan belia menceburi bidang pertanian yang kekal kukuh dan berkembang walaupun sektor lain terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kalau sekalipun kita sediakan satu peruntukan yang besar untuk membangunkan sektor jaminan bekalan makanan ini, macam mana saya nak tahu bahawa orang muda merebut peluang itu?

“Bagaimana saya hendak tahu bahawa golongan muda yang benar-benar ada potensi tidak terlepas daripada radar kerajaan untuk membantu saudara-saudari?

“Saya amat yakin bahawa dengan adanya data-data ini, lebih banyak lagi program yang akan dapat dirangka pada masa yang akan datang,” katanya.

YAB Menteri Besar turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang merancang untuk membina sebuah gimnasium rakyat dan hab belia di setiap daerah.

“Kita jangkakan bermula tahun depan kita akan gerakkan supaya setiap daerah dapat dibangunkan dengan hab belia ini,” katanya.

AR Makmur Johor by Zulkifly Ali, JohorTimes.my

https://play.google.com/store/apps/details?id=com.iHumEnUTM.ARMakmurJohor

AR Makmur Johor by Zulkifly Ali, JohorTimes.my

https://apps.apple.com/my/app/ar-makmur-johor/id1530162296

(Visited 16 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: