CUBAAN SELUDUP BURUNG MURAI KE INDONESIA GAGAL

CUBAAN SELUDUP BURUNG MURAI KE INDONESIA GAGAL

KOTA TINGGI 041120 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar burung murai ke negara jiran di perairan Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, dekat sini semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, sebelum itu anggotanya melakukan rondaan dengan bot ronda RH 24 menerusi Ops Benteng melihat sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan pada pukul 11.45 malam .

“Bot ronda tersebut berjaya memintas dan menahan bot fiber berkenaan. PPM Wilayah Dua menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 61 tahun.

“Kita merampas 450 ekor burung murai serta sebuah bot fiber dan sebuah enjin sangkut yang digunakan suspek. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM163,408,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Tektikal PPM W2 Pengerang untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2013 (Maqis) dan Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, burung Murai menjadi kegilaan dan buruan masyarakat negara jiran kerana fizikalnya cantik dan bersuara nyaring.

Jelasnya, burung Murai dari Malaysia dikatakan lebih bermutu tinggi dan harga seekor burung murai mampu mencecah ribuan ringgit di pasaran Indonesia.

“Burung jenis ini menjadi haiwan kawalan untuk dieksport mengikut peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2013 (Maqis),” katanya.

Dalam Ops Benteng itu, beliau berkata, PPM Wilayah Dua menumpukan sebarang pergerakan bot di laut bagi memastikan perairan negara terkawal daripada aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk aktiviti penyeludupan.

Beliau menyeru masyarakat untuk bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah Dua bagi membenteras sebarang kegiatan jenayah terutama melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim. – JT

(Visited 8 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: