BEKAS PEMANDU VAN, 2 RAKAN DIDAKWA ROGOL, LIWAT SEORANG WANITA

BEKAS PEMANDU VAN, 2 RAKAN DIDAKWA ROGOL, LIWAT SEORANG WANITA

JOHOR BAHRU – Seorang bekas pemandu van dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini hari ini atas enam pertuduhan, iaitu merogol, meliwat dan mencederakan mangsa selain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri pada 12 dan 15 November lalu.

Tertuduh S. Dinesh Kumar, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim MV Mabel Sheela dan Majistret, Nurasifah A. Rahman.

Mengikut pertuduhan, Dinesh didakwa merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita berusia 30 tahun di sebuah rumah di Taman Perling pada jam 6 pagi, 12 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman meminta mahkamah tidak menawarkan jaminan kerana bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam bela, Amaarpreet Singh yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan diberikan kerana tertuduh kehilangan pekerjaan dan memohon mahkamah mempertimbangkan keadaan penjara yang sesak dikhuatiri akan menyebabkan penularan wabak COVID-19.

Hakim, Mabel Sheela membenarkan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin serta beberapa syarat tambahan termasuk melaporkan diri setiap sebulan di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain tidak mengganggu saksi.

Di Mahkamah Majistret pula, Dinesh mengaku tidak bersalah mengugut dan mencederakan mangsa di lokasi dan waktu yang sama.

Selain itu, Dinesh turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan memberikan makluman diri palsu kepada pihak polis.

Majistret, Nurasidah A. Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sementara itu, dua lagi rakan tertuduh, iaitu Salwani Yusof, 28, dan Dewi Riskasari, 25, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM3,500 dan RM4,000.

Kes di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Benedict Choong Kai-Qi, manakala Salwani dan Dewi tidak diwakili peguam.

Hakim, Mabel Sheela dan Majistret Nurasidah menetapkan 22 Disember ini bagi sebutan semula kes. – JT

(Visited 38 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: