7 AH LONG DICEKUP

7 AH LONG DICEKUP

Oleh Abu Hanifah Muhamad

JOHOR BAHRU 031120 – Polis Johor menahan tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ceti haram atau ah long di Residensi Impian Senibong, di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan pada pukul 7.45 pagi itu dijalankan sepasukan tiga pegawai dan 12 anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah.

Beliau berkata, kesemua suspek yang merupakan warganegara tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun.

“Dalam serbuan pertama, kita menahan tiga suspek lelaki selain turut merampas wang tunai berjumlah RM9,000, nombor plat palsu, tong cat, buku nota hutang dan simkad nombor Singapura.

“Dalam serbuan kedua, seramai empat lelaki ditahan. Turut dirampas wang tunai RM3,000, risalah iklan, kad nama, cat merah dan telefon bimbit,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai serbuan berkenaan.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Datuk Md. Yusof Ahmad.

Ayob Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula bergiat aktif dalam kegiatan itu di sekitar bandar raya ini sejak tahun lalu.

Berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek menerima gaji bulanan berjumlah RM2,500 untuk menjalankan kerja-kerja ah long, termasuk melakukan ugutan terhadap mangsa.

“Ini merupakan operasi ketiga yang dilakukan melibatkan sindiket ah long dan sejak Januari seramai 49 suspek telah ditahan serta 54 kertas siasatan dibuka dengan 27 daripada mereka telah dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat saki-baki anggota sindiket ah long itu atau berkaitan dengan tujuh yang ditangkap hari ini.

Sementara itu, Md Yusof pula memberitahu, modus operandi sindiket ini dipercayai dengan membuat ugutan secara berperingkat-peringkat bagi menakut-nakutkan mangsa yang membuat pinjaman.

Pada eringkat pertama, mereka akan menampal gambar mangsa di kediaman untuk memalukan mangsa sebelum bertindak menyimbah cat merah pada peringkat seterusnya.

“Sekiranya mangsa masih tidak membayar, sindiket ini akan membakar bahagian pintu kediaman mangsa. Ada antaranya yang turut bertindak mengunci pintu pagar kediaman mangsa,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506, 427, 435/436 Kanun Keseksaan, Seksyen 5(2) Akta Pemberian Pinjaman Wang 1951 serta Akta Pencegahan Jenayah 1959. – JT

(Visited 14 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: