5 FAKTOR ISYTIHAR DARURAT DI BATU SAPI

5 FAKTOR ISYTIHAR DARURAT DI BATU SAPI

KUALA LUMPUR 181120 – Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, perisytiharan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu, dibuat dengan mengambil kira lima faktor utama akibat penularan COVID-19.

Perdana Menteri berkata, faktor pertama ialah ancaman terhadap kesihatan awam dengan mengambil pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, yang menjadi punca kepada gelombang ketiga wabak itu dalam komuniti.

Katanya, walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun pematuhan kepada SOP didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak itu sukar dibendung.

“Kedua, SPR menghadapi kekangan mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan COVID-19 ketika bertugas.

“Risiko jangkitan dalam kalangan petugas pilihan raya tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan berurusan secara langsung dengan pengundi, yang berkemungkinan terdedah kepada wabak.

“Disebabkan kebimbangan ini, setakat 6 November lalu, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya, iaitu 17.1 peratus sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata, faktor ketiga ialah pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 ke daerah lain.

Katanya, selain pergerakan pegawai SPR, pengundi berdaftar yang tinggal di daerah lain juga akan melakukan pergerakan rentas daerah bagi tujuan mengundi dan ini tidak boleh dihalang kerana hak mereka untuk mengundi dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keempat ialah kebimbangan mengenai risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pengundi terutama warga tua, yang merupakan golongan berisiko tinggi.

“Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.

“Jika pilihan raya diadakan dan mereka keluar mengundi atau mengikuti aktiviti kempen pilihan raya, tiada jaminan bahawa mereka tidak akan terkena jangkitan COVID-19 yang boleh membawa maut,” katanya.

Perdana Menteri berkata, faktor kelima pula ialah kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk Batu Sapi serta daerah Sandakan sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadak.

“Pada masa ini pun, kesan ekonomi amat dirasai oleh rakyat yang terpaksa melalui kehidupan yang sukar. Ada yang kehilangan pekerjaan dan putus mata pencarian akibat wabak ini.

“Kerajaan sedang berusaha mengawal penularan COVID-19 terutama di Sabah, yang pada masa ini menunjukkan tanda yang agak positif dengan jumlah kes baharu semakin berkurangan.

“Jadi berdasarkan faktor ini, Jemaah Menteri berpandangan PRK Parlimen Batu Sapi wajar dibatalkan atau ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai apabila pandemik ini berakhir,” katanya.

Muhyiddin berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mendapatkan pandangan Peguam Negara yang berpandangan tidak ada cara lain untuk membatalkan PRK Batu Sapi melainkan perisytiharan darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana menurut Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, sekiranya terdapat kekosongan luar jangka sesuatu kerusi Parlimen, ia hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku.

“Oleh itu pilihan raya kecil mesti diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, melainkan kekosongan itu berlaku dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar,” katanya.

Mengulas peningkatan mendadak wabak itu di Sabah, Muhyiddin berkata, data menunjukkan pada hari penamaan calon PRN Sabah, kes kumulatif di negeri itu hanya mencatatkan sebanyak 808 kes, namun meningkat mendadak ketika hari pengundian pada 26 September lalu.

“Situasi di Sabah menjadi lebih buruk apabila meningkat mendadak dalam tempoh empat minggu selepas hari mengundi. Pada 24 Oktober lalu, Sabah merekodkan 11,285 kes kumulatif dan menjadi negeri pertama merekodkan jumlah kes melebihi 10,000 kes.

“Hari ini Sabah masih mencatat kes kumulatif tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 24,269 kes dengan 181 kematian,” katanya. – BH

(Visited 12 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: