UMNO TETAP SOKONG PN, TOLAK PKR, DAP

UMNO TETAP SOKONG PN, TOLAK PKR, DAP

KUALA LUMPUR 271020 – UMNO malam tadi memutuskan untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, di sini.

Ahmad Zahid berkata, UMNO juga menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP.

“UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik.

“Kita mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik COVID-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.

“Kita juga menyarankan supaya inisiatif Rekonsilisasi Nasional Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan mengembleng penyertaan semua parti politik bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang,” katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Kenyataan media Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Mesyuarat MKT yang bermula kira-kira jam 8.30 malam itu dipengerusikan Ahmad Zahid berlangsung selama lebih tiga jam, antara lain akan memperincikan pelbagai cadangan dan pendapat yang dikemukakan hasil pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) petang tadi.

Antara yang utama, memuktamadkan pendirian UMNO dan BN sama ada kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika ini atau sebaliknya.

Ahmad Zahid juga berkata, UMNO turut menjunjung kasih di atas keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah semalam, yang menolak permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi UMNO, keputusan yang turut dibincangkan dengan Raja-Raja Melayu itu adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.

“UMNO mendokong sepenuhnya titah dan saranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu supaya dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, UMNO juga akan memastikan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat terus direalisasikan.

Antara ahli MKT UMNO yang hadir mesyuarat itu adalah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Azalina Othman, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Terdahulu, satu mesyuarat tergempar turut diadakan di Ibu Pejabat UMNO, membabitkan Ahli Parlimen BN, petang semalam. – BH

(Visited 34 times, 1 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: