SULTAN IBRAHIM KURNIA PINGAT UNTUK BARISAN HADAPAN

SULTAN IBRAHIM KURNIA PINGAT UNTUK BARISAN HADAPAN

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang khusus untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan di negeri ini yang secara berterusan bertungkus-lumus memerangi penularan wabak COVID-19.

Menurut akaun rasmi Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah pingat berserta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terbabit penugasan memerangi wabak COVID-19.

“Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang.

“Teruskan usaha baik anda semua dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini daripada terus menular,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima mengadap Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados Istana Bukit Pelangi, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Rahim turut mempersembahkan contoh surat akuan berkenaan kepada baginda.

Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru melambangkan Bendera Johor, manakala di bahagian belakang, terdapat reka bentuk 10 tangan memegang erat antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor.

Sultan Johor bertitah, pingat berkenaan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak yang akan dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing.

“Pingat ini kemudian akan saya sampaikan kepada ketua jabatan untuk diberikan kepada penerima, antaranya Jabatan Kesihatan Johor, polis, tentera, bomba dan lain-lain,” titah baginda.

(Visited 4 times, 1 visits today)

About The Author

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: